Reaksi jurulatih pasukan Manchester United, Ruben Amorim ketika pertemuan menentang skuad ASEAN All Stars pada perlawanan Maybank Challenge Cup di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 MEI 2025. (GAMBAR FAIL).

LONDON – Manchester United membuat keputusan drastik apabila Ruben Amorim selepas kenyataan mengejut pengendali dari Portugal itu terhadap lembaga pengurusan kelab.

Dalam satu kenyataan rasmi, United berkata, Amorim meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Manchester United.

“Dilantik pada November 2024, dia membawa pasukan ke Final UEFA Europa League di Bilbao pada Mei.

“Dengan United kini di tangga keenam Liga Perdana, pihak pengurusan membuat keputusan bahawa masanya untuk perubahan telah tiba demi peluang terbaik pasukan mencapai kedudukan tertinggi.

“Kelab mengucapkan terima kasih kepada Ruben atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik,” kata kenyataan itu.

Pemecatan itu menyusul apabila Amorim membuat kenyataan kontroversi selepas seri 1-1 menentang Leeds United pada awal pagi tadi, menuntut gelarannya ditukar daripada ‘ketua jurulatih’ kepada ‘pengurus’ dan menyindir pengarah bola sepak Jason Wilcox berhubung kegagalan perpindahan Antoine Semenyo.

Sementara itu, Amorim, 40, meninggalkan Old Trafford selepas tempoh 14 bulan yang sukar di dalam dan luar padang dengan rekod 24 kemenangan daripada 63 perlawanan.

Peratus kemenangan di bawah era Amorim pula hanya hanya 38.71 peratus, rekod terburuk sejak Frank O’Farrell pada 1971.

Bekas pemain tengah, Darren Fletcher akan mengetuai pasukan secara interim, termasuk perlawanan menentang Burnley pada awal pagi Khamis ini.

Musim lalu, Amorim gagal membawa United menjuarai liga, kalah di final Europa League kepada Tottenham Hotspur dan hanya menamatkan musim di tangga ke-15.

Sepanjang tempoh bimbingannya, United hanya sekali memenangi perlawanan berturut-turut, iaitu tiga kemenangan dalam siri lima perlawanan tanpa kalah pada Oktober lalu.

Amorim turut dikritik kerana berdegil menggunakan formasi 3-4-3 yang akhirnya diakui hanya berkesan jika kelab membelanjakan “banyak wang”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast