KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini, DAP didakwa masih senyap berhubung tempoh enam bulan yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan.
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, keadaan itu menyebabkan wujud tanggapan bahawa Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sedang berunding secara tertutup tetapi berkesan dengan kerajaan bagi merealisasikan reformasi tersebut.
Namun, katanya, jika benar DAP serius dengan tempoh enam bulan untuk reformasi, mungkin Loke wajar menonjolkan dengan jelas reformasi yang dituntut oleh parti itu daripada kerajaan.
Menurutnya, penyediaan satu senarai tuntutan mungkin dapat memberi petunjuk tentang tahap keseriusan DAP terhadap agenda reformasi.
Jelas beliau, reformasi tidak seharusnya dibangkitkan semata-mata kerana parti itu mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri Sabah yang lalu.
Malah, reformasi tidak boleh terbatas hanya kepada isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) semata-mata bagi meraih sokongan pengundi Cina di negara ini.
“…namun sehingga hari ini tidak ada petunjuk bahawa parti itu benar-benar serius terhadap reformasi.
“Orang ramai juga tidak dimaklumkan apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh DAP sekiranya reformasi tidak dilaksanakan dalam tempoh enam bulan tersebut, khususnya dalam usaha parti itu untuk mendekati semula pengundi Cina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Artikel berkaitan:
Reformasi DAP tak sampai daging
Perjuangan selektif DAP penghalang besar reformasi, Puad jawab Gobind
Akar umbi mahu DAP keluar kerajaan jika reformasi gagal dicepatkan
Lantaran itu, Ramasmy mendakwa, pendekatan politik Loke yang bersifat birokratik, kelihatan agak berhati-hati dan tertutup mengenai reformasi yang dituntutnya.
Beliau berkata, tempoh enam bulan bukanlah lama dan orang ramai sedang menunggu dengan penuh minat reformasi yang akan dikemukakan oleh DAP kepada kerajaan.
“Bolehkah kepimpinan DAP memaklumkan kepada orang ramai apakah langkah balas yang akan diambil sekiranya reformasi tidak dilaksanakan?,” soalnya lagi. – MalaysiaGazette
















