Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR  – Dapatan kajian Institut Masa Depan Malaysia (MASA) mengesahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon Perdana Menteri pilihan utama berbanding penyandang jawatan sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, data kajian tersebut menunjukkan Muhyiddin memperoleh 46 peratus sokongan dalam kalangan ketua parti mengatasi Anwar yang sekadar mencatat 39 peratus.

“Bagi kategori responden Melayu, Muhyiddin mencatat sokongan tinggi sebanyak 56 peratus manakala Anwar hanya memperoleh 37 peratus sokongan.

“Dapatan kajian ini adalah amaran besar kepada PM10 dan membuktikan Kerajaan Madani masih gagal menawan keyakinan pengundi teras Melayu walaupun telah lebih dua tahun mentadbir,” katanya menerusi hantaran di Fcebooknya.

Dapatan kajian dari Institut MASA

Tun Faisal berkata, secara keseluruhan, kajian itu menggambarkan landskap politik negara masih rapuh kerana Anwar belum memperoleh mandat rakyat yang kukuh.

“Selain Muhyiddin, tokoh lain yang mencatat sokongan tinggi ialah Khairy Jamaluddin dengan 52 peratus secara keseluruhan.

“Bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula merekodkan tahap penolakan paling ketara dengan hanya 16 peratus sokongan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, kajian MASA turut mendedahkan sokongan pengundi Cina terhadap Anwar kini bersifat pragmatik dan bersyarat pada paras 50 peratus sementara pengundi India pula bersikap skeptikal tanpa ada calon yang dominan.

“Selagi isu kos sara hidup, tekanan ekonomi dan keyakinan terhadap kepimpinan tidak ditangani secara menyeluruh, ruang untuk perubahan kuasa dan kebangkitan calon alternatif akan terus terbuka luas,” katanya lagi.

Sementara itu, bukan daripada ketua parti, nama Khairy Jamaludin menjadi pilihan rakyat sebagai calon Perdana Menteri.

Dengan sokongan 52 peratus mengatasi nama-nama yang lain, Khairy turut mendapat sokongan daripada semua masyarakat sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast