KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia membantah kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mempersoalkan kewajaran kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan mengenai peruntukan tambahan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah vernakular dalam belanjawan serta peruntukan khas pendidikan, yang turut melibatkan Sekolah Kebangsaan dan sekolah daif di kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, Perkasa mempertikaikan keutamaan peruntukan tersebut dengan mendakwa ia tidak seimbang dan menjejaskan kepentingan sekolah aliran kebangsaan.
Mengulas perkara itu, Ketua Belia PPP, Sathiah Sudakaran berkata, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak adil dan bersifat sempit malah berbahaya kerana berpotensi meretakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Pendidikan bukan isu perkauman. Ia adalah hak asas setiap warganegara Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut beliau, SJKC dan SJKT merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dan telah lama menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan, pembentukan identiti nasional serta kestabilan sosial negara sejak sebelum kemerdekaan.
Sathiah turut menegaskan masalah sekolah daif di kawasan pedalaman tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan peruntukan kepada sekolah aliran lain.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan kedua-dua isu secara serentak bukan mewujudkan naratif ‘pilih kasih’ yang akhirnya mengapi-apikan sentimen perkauman,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak khasnya pertubuhan bukan kerajaan, agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan awam berkaitan pendidikan.
“Isu pendidikan perlu dibincangkan secara matang, berfakta dan berpaksikan kepentingan nasional, bukannya dijadikan modal politik yang sempit,” katanya.
Sebagai parti berbilang kaum, Sathiah berkata, PPP kekal berpegang kepada prinsip perpaduan, keadilan dan kesaksamaan serta menyokong peruntukan yang adil kepada semua sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pertikaian Perkasa terhadap dana SJKC, SJKT mengelirukan – Sivamalar
















