KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan legenda futsal negara, Addie Azwan Zainal sebagai ketua jurulatih futsal kebangsaan yang baharu bagi menggantikan Rakphol Sainetngam.
Rakphol, 47, tidak memperbaharui kontrak sebagai ketua jurulatih futsal Harimau Malaya yang berakhir pada 31 Disember lalu untuk kembali ke negara asalnya sebagai ketua jurulatih futsal Thailand yang baharu.
Addie Azwan yang akan genap berusia 46 tahun pada 18 Jun depan merupakan penolong ketua jurulatih futsal kebangsaan sejak Rakphol membimbing skuad futsal Harimau Malaya bermula pada Ogos 2023.
“Justeru Addie Azwan adalah calon paling sesuai dan layak untuk membimbing skuad futsal Harimau Malaya ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta, Indonesia dari 27 Januari hingga 7 Februari ini memandangkan beliau cukup mengenali pemain sedia ada dan memahami falsafah permainan yang telah diterapkan Rakphol sebelum ini.
“Sepanjang kariernya sebagai pemain futsal kebangsaan dari tahun 2002 hingga 2010, Addie Azwan sehingga kini masih memegang rekod sebagai pemain paling banyak caps dan penjaring terbanyak keseluruhan skuad futsal Harimau Malaya.
“Pengalaman beliau dalam bidang kejurulatihan pula sudah mencecah tempoh 15 tahun – bermula sebagai penolong ketua jurulatih futsal kebangsaan kepada dua ketua jurulatih iaitu Maizal Hairi Marzuki dari 2011 hingga 2013 dan Marcelo Serpa dari 2013 hingga 2016,” kata FAM dalam satu kenyataan di sini.
Sebelum ini, Addie Azwan juga pernah menggalas tugas selaku ketua jurulatih futsal wanita kebangsaan pada tahun 2018.
Sementara itu sebagai ujian sulung, Addie Azwan selaku ketua jurulatih futsal Harimau Malaya pada Piala Asia Futsal 2026 di mana Malaysia akan berdepan Iran pada 28 Januari ini, Afghanistan dua hari kemudian dan Arab Saudi pada 1 Februari ini bagi tiga aksi Kumpulan D.
Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir pada 3 Februari depan seterusnya separuh akhir pada 5 Februari dan final pada 7 Februari 2026. – MalaysiaGazette















