Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memastikan semua prosedur berkaitan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) benar-benar dipatuhi.

Malah, kata bekas Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau hari ini turut menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah ROS supaya badan itu memantau dan memastikan prosedur yang betul dipatuhi.

Ini kerana, menurut beliau, wujud dakwaan orang-orang di sekeliling Muhyiddin cuba melobi parti-parti komponen PN agar menolak perletakan jawatan Presiden Bersatu itu.

Dakwanya, ia termasuk percubaan menyembunyikan surat terima kasih oleh Pas kepada Muhyiddin atas jasa sebagai Pengerusi PN sebelum ini, yang mana secara prinsipnya boleh difahami sebagai penerimaan Pas atas perletakan jawatan Muhyiddin.

“Ada beberapa orang penjilat yang giat berjumpa sana sini sejak beberapa hari lalu.

“Mungkinkah mereka rasa Muhyiddin dah tak ada rasa malu buat u-turn lagi sekali? Lagipun Muhyiddin kan memang dah biasa u-turn.

“Apa pun, mesyuarat MT PN nanti adalah penting untuk masa depan pembangkang di Malaysia.

“Sebab itulah amat penting agar semua prosedur dipatuhi. Saya harap ROS akan perhatikan gerak geri Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Wan Saiful berkata, memandangkan Muhyiddin sudah mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, maka timbul persoalan sama ada beliau masih boleh mempengerusikan mesyuarat MT PN akan datang.

Jelas beliau, sekiranya Muhyiddin tetap hadir, maka akan timbul persoalan sama ada mesyurat MT PN itu sah atau sebaliknya.

“Mengesahkan perletakan jawatan Pengerusi harus menjadi agenda pertama mesyuarat MT PN akan datang.

“Kalau Muhyiddin masih nak hadir juga, apabila perletakan jawatan disahkan, sebelum masuk agenda kedua, Muhyiddin perlu keluar mesyuarat,” katanya.

Ujarnya, Muhyiddin tidak sesuai mempengerusikan mesyuarat memandangkan agendanya adalah mengenai beliau sendiri, sekali gus mewujudkan conflict of interest.

Sehubungan itu, tambahnya, MT PN boleh memilih salah seorang Timbalan Pengerusi untuk mempengerusikan perbincangan tersebut.

“Saya tak yakin Muhyiddin dan penjilatnya akan menghormati prosedur. Mereka desperate nak supaya Muhyiddin kekal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast