KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Sarawak dan Sabah.
Baginda berdua turut menzahirkan doa agar segala urusan rakyat yang ditimpa bencana dipermudahkan serta dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.
Baginda berdua bertitah rakyat di Borneo sentiasa dekat di hati serta sentiasa dalam ingatan dan mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan Allah SWT.
Memetik laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sebanyak 41 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat pagi tadi melibatkan beberapa bahagian utama di negeri itu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan, PPS berkenaan membabitkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri yang kini menempatkan sebanyak 3,890 mangsa daripada 1,175 keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah mangsa banjir di Sabah turut menunjukkan peningkatan setakat pagi ini di mana seramai 367 orang daripada 137 keluarga ditempatkan di dua buah PPS setakat 8 pagi tadi. – MalaysiaGazette
















