Rangka manusia dari Gua Chawan yang dikenal pasti dan dikaji oleh pasukan penyelidik UKM.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya sejak penubuhan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1972, rangka manusia prasejarah dipamerkan kepada umum di Muzium Anatomi dan Patologi, Fakulti Perubatan UKM pada 13 Januari ini.

Rangka-rangka berkenaan telah diekskavasi di Gua Chawan, Kelantan, antara tahun 2018 hingga 2023 oleh Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli, pakar arkeologi dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Budaya.

Gua Chawan merupakan salah satu gua batu kapur yang terletak di sepanjang Sungai Nenggiri dan anak-anak sungainya di kawasan Gua Musang, Kelantan.

Kawasan ini kini terlibat dalam projek pembinaan empangan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang akan menenggelamkan gua-gua berkenaan.

Aktiviti ekskavasi telah dilaksanakan dan dibiayai oleh TNB sebagai sebahagian daripada usaha pemindahan dan pemeliharaan warisan arkeologi negara, termasuk tinggalan rangka manusia prasejarah.

Gunung Chawan

Sebanyak empat rangka manusia dari Gua Chawan telah dikenal pasti dan dikaji oleh pasukan penyelidik UKM.

Analisis pentarikhan menggunakan kaedah Karbon-14 mendapati individu-individu tersebut meninggal dunia sekitar 7,000 hingga 9,200 tahun yang lalu.

Penentuan jantina dan anggaran usia ketika maut telah dijalankan oleh Dr. Nor Atika Md. Ashar, pakar odontologi forensik dari Fakulti Pergigian UKM, yang mendapati rangka-rangka tersebut terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Rangka-rangka ini kemudiannya dibawa ke Fakulti Perubatan UKM untuk kajian lanjutan berkaitan kesihatan tulang.

Kajian tersebut diketuai oleh Profesor Dr. Ima Nirwana Soelaiman, bersama pasukan penyelidik yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Elvy Suhana Mohd. Ramli, Profesor Madya Dr. Chin Kok Yong, Dr. Fairus Ahmad dan Dr. Wong Sok Kuan.

Analisis dijalankan menggunakan kaedah pengimejan tanpa musnah bagi memastikan pemeliharaan optimum tinggalan prasejarah yang amat bernilai ini.

Antara teknologi yang digunakan ialah Dual-Energy X-ray Absorptiometry (DXA), Computed Tomography (CT) dan micro-CT.

Hasil kajian mendapati bahawa ketumpatan serta struktur dalaman mikro tulang manusia prasejarah ini adalah sebanding dengan manusia moden di rantau ini.

Saiz, bentuk tulang dan anggaran ketinggian individu juga menunjukkan persamaan dengan populasi tempatan masa kini.

Rangka-rangka prasejarah ini kini dipamerkan di Muzium Anatomi dan Patologi, Fakulti Perubatan UKM, dengan kabinet pameran kaca yang disumbangkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pameran ini bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat umum mengenai kesihatan, gaya hidup serta persekitaran hidup manusia prasejarah, berdasarkan analisis tulang dan gigi yang masih bertahan hingga ke hari ini.

Maklumat yang diperoleh daripada kajian ini bukan sahaja menyumbang kepada pemahaman ahli arkeologi dan antropologi tentang cara hidup manusia purba, malah berpotensi memberikan data sokongan kepada penyelidikan kesihatan dan penjagaan
kesihatan moden secara umum.

Pameran dan majlis perasmian ini dianjurkan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penemuan rangka manusia prasejarah sebagai khazanah arkeologi bernilai tinggi, menyampaikan dapatan kajian saintifik berkaitan kesihatan tulang manusia prasejarah melalui kaedah pengimejan tanpa musnah.

Selain itu, meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemeliharaan warisan arkeologi serta hubung kait antara gaya hidup dan kesihatan dan memperkukuh peranan universiti awam sebagai pusat penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast