KUALA LUMPUR – Tiga sayap Pemuda parti komponen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Pengerusi PN.
Ketua Pemuda Kebangsaan, Malaysia Indian People Party (MIPP), Justin Prabakaran berkata, selaku teraju utama yang akan memimpin PN dalam pilihan raya umum akan datang, jawatan Pengerusi mesti diisi oleh kepimpinan yang absah, inklusif, diterima oleh rakyat pelbagai kaum dan mempunyai track record yang diyakini rakyat.
Ujarnya, ketiga-tiga sayap Pemuda PN juga berpendirian jawatan pengerusi mestilah diisi oleh mana-mana presiden parti yang mempunyai kuasa eksekutif dan autoriti bagi membuat sebarang keputusan dasar demi kelancaran pentadbiran.
Tambahnya, PN Nasional wajar diperkasakan dengan etika gabungan, disiplin pentadbiran serta kerjasama politik dengan parti-parti yang terlibat dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
“Peletakan jawatan oleh Muhyiddin pastinya memberi impak kepada wajah PN khususnya dalam pilihan raya umum akan datang.
“Untuk menang dalam pilihan raya, PN harus diterajui oleh figura yang boleh menjana penyatuan dan menggarap dukungan majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Justin serta Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham dan Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin hari ini bagi menyampaikan pandangan dan pendirian sayap pemuda masing-masing khususnya berhubung kedudukan Pengerusi PN.
Menurut Justin, berhubung tafsiran bahawa jawatan Pengerusi PN boleh disandang oleh mana-mana pemimpin selain presiden parti, perkara itu boleh dirujuk kepada Fasal 20 Perlembagaan parti.
Ujarnya, fasal itu menyatakan: “Jika timbul sebarang kekeliruan tentang pentafsiran, susunan dan pengertian mengenai mana-mana peruntukan di dalam fasal Perlembagaan ini atau mana-mana peraturan dan perintah tetapnya, maka tafsiran, susunan dan pengertian mengenai fasal itu yang dibuat dengan suara majoriti ahli-ahli Majlis Tertinggi adalah terpakai dan muktamad.” – MalaysiaGazette

















Mcm ni pun jd masalah. Rakyat dok perati ja.