Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

KUALA LUMPUR – Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar yang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh didakwa semula terhadap 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi sebagai tidak tepat.

Ini kerana, ujarnya, kes melibatkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu masih terbuka.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan bertukar, kes itu boleh dikaji dan dituduh semula oleh Peguam Negara dan Perdana Menteri baharu.

“Yang tidak boleh tuduh balik atau teruskan semula dari pembelaan adalah sekiranya mahkamah arahkan bebas dan lepas.

“Ini adalah kerana konsep double jeorpady. Tidak boleh tuduh bagi kes yang telah bebas dan lepas kalau tiada rayuan. Lihat Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Muhammad Rafique yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mempersoalkan perbandingan dibuat Mohd Dusuki dengan kes-kes yang lain yang mana jika rayuan berlaku walaupun telah ada sabitan, Peguam Negara boleh sahaja membuat keputusan reduce (kurangkan) atau turun seksyen (bawa pertuduhan bagi seksyen yang lebih rendah).

Sedangkan, tegas beliau, ia tiada kaitan dengan kes Ahmad Zahid memandangkan kes itu tergantung dan tidak selesai.

“Bagaimana pula kes rakyat biasa? Akan dapat yang sama? Malah kes YB Syed Saddiq. Mengapa masih terus kalau Mahkamah Persekutuan sendiri kata pihak-pihak perlu kaji semula kedudukan.

Terdahulu, media melaporkan AGC memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap kes 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid.

Menurut Mohd. Dusuki Mokhtar, selepas meneliti enam representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, jabatan itu berpuas hati kes dihadapi Ahmad Zahid lemah dan tidak memungkinkan ia diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast