Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 ketika di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini mengorak langkah proaktif bagi merapatkan jurang antara tatakelola kerajaan dan kecekapan sektor swasta dengan meletakkan Integriti dan kelestarian sebagai pasak utama.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sudah sampai masanya MINDEF melaksanakan kerangka ESG dengan secara lebih kemas dan menyeluruh.

Seperti mana syarikat multinasional mempunyai audit dalaman yang ketat, MINDEF memperkasakan mekanisme dalaman untuk mengesan sebarang kecurangan secara automatik tanpa perlu menunggu pendedahan pihak luar.

“Kita mesti belajar dari sistem yang lebih maju, teruji dan berkesan. Kita mesti berani menongkah arus serta melakukan reset yang meyakinkan.

“Dan kita tidak lagi boleh memberi alasan “atas kepentingan keselamatan negara” untuk mengelak daripada menjadi lebih terbuka, lebih dinamik, telus dan lestari,” katanya pada majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira ATM, di sini.

Khaled berkata, kerangka ESG itu perlu kerana pencapaian sektor swasta dalam pengurusan yang bertanggungjawab, bebas rasuah dan model perniagaan yang lestari adalah sangat mengagumkan.

Sama ada ia melibatkan pendigitalisasi, ketelusan perolehan, amalan perniagaan yang lestari, mahupun hak pekerja, semuanya dilaksanakan dengan kemas dan teratur.

Bahkan, pelaksanaan kerangka itu menjadikan syarikat mapan dan berdaya saing, serta kepercayaan terhadap perniagaan meningkat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 ketika di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2026.

“Pelaksanaan kerangka ESG bukan sahaja dipatuhi, tetapi dilaksanakan dengan kepimpinan yang berkesan,” tegas beliau.

Tambah Khaled, penubuhan Lembaga yang diketuai oleh tokoh bebas dan berpengalaman adalah penting bagi memastikan tiada intervensi mereka berkepentingan dan menghapuskan campur tangan politik.

Khaled berkata, amalan perkhidmatan MINDEF mesti beranjak daripada pemikiran lapuk dan tidak lagi terbelenggu dengan birokrasi dan tatakelola yang tidak berkesan.

“Saya menyeru agar kita segera mencari jalan bagaimana amalan tadbir urus terbaik dapat diadaptasikan dalam usaha kita membangunkan kewibawaan kita ke tahap yang lebih unggul dan dihormati,” tambahnya.

Dalam pada itu, ketika berucap, beliau turut menekankan MINDEF merancang untuk memperluas Program Ekonomi MADANI di 30 kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan 60 projek baharu pada tahun 2026.

Ia termasuk projek keusahawanan berasaskan madu kelulut, cendawan tiram, halia Bentong, sayur-sayuran fertigasi, produk pertanian hidroponik sifar karbon pintar, serta akuaponik ikan tilapia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 ketika di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2026.

Menurut beliau, program ini merupakan salah satu daripada lapan fokus MINDEF dalam memartabatkan pertahanan secara menyeluruh.

Tambahnya, kementerian itu juga akan meneruskan pelaksanaan Program Work-Based Learning (WBL) dengan peruntukan RM2 juta yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Menurut beliau, melalui WBL, pengalaman, kemahiran serta kepakaran anggota ATM dapat diiktiraf dan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memudahkan mereka mendapat peluang kerjaya kedua kelak.

Di bawah fokus ini, MINDEF juga akan terus meningkatkan kemudahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), termasuklah dengan peruntukan sebanyak RM426.4 juta bagi senggaraan RKAT dan blok penginapan bagi tahun 2026.

Selain itu, tambahan RM50 juta bagi projek senggaraan RKAT dan blok penginapan di sekitar KEMENTAH. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast