Keadaan motosikal milik mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Pahat-Mersing, Kluang, hari ini.

KLUANG – Seorang pembantu kedai serbaneka maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan dan kemalangan di kilometer 96.9, Jalan Batu Pahat-Mersing di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku pukul 6 pagi melibatkan dua motosikal.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa iaitu seorang lelaki tempatan dalam perjalanan dari pekan Kahang menghala ke rumahnya di Kampung Sri Kenangan.

“Ketika tiba di lokasi motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang motosikal Honda EX5 di hadapannya di laluan yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, akibatnya, penunggang Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penunggang Honda EX5 pula katanya, iaitu seorang warga emas lelaki berusia 64 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Tambah Bahrin, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Tambahnya, mereka juga boleh datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang atau melalui talian telefon 07-778 4222, 07-776 6822 (hotline), 07-778 4256 (talian terus) dan 014-365 682 (Tablet DCC).- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast