Radin Ramlan Radin Taha

JOHOR BAHRU – Polis memberi jaminan siasatan kes anggota polis menampar seorang mat rempit di sebuah stesen minyak di Taman Perling di sini kelmarin akan dijalankan secara telus.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, siasatan juga akan dijalankan secara adil dan berintegriti.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi di atas isu ini dan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat amat dialu-alukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun sudah membuat laporan polis pukul 6.17 petang semalam mendakwa ditampar anggota polis berkenaan di stesen minyak tersebut.

Mangsa katanya, mendakwa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara bagi pemeriksaan lanjut terhadap motosikal miliknya.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad hari ini berkata, anggota polis berpangkat Konstabel itu bertindak demikian dipercayai tindakan spontan selepas mangsa cuba melarikan diri.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan ketika kejadian anggota polis itu sedang dalam penugasan operasi motosikal di kawasan sekitar.

Jelasnya, walaupun anggota berkenaan sedang bercuti, berdasarkan rekod, dia dipanggil bertugas pada hari kejadian untuk membantu operasi yang dijalankan bertujuan membanteras aktiviti mat rempit.

Terdahulu video kejadian tersebut tular sejak kelmarin dan mendapat kritikan netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis terbabit.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast