KUALA LUMPUR – Usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat sedih selepas banglonya di Petaling Jaya dekat sini, akhirnya dilelong semalam.
Menurut Sajat, terlalu banyak kenangan di rumah itu untuk dilupakan.
Bagaimanapun, dia reda dan menganggap banglo tersebut bukan lagi rezekinya.
Namun, dia tetap berbangga kerana pernah memiliki banglo itu hasil usaha mencari rezeki yang halal, serta dibeli dengan berkat, daripada insan yang menjadi idolanya.
“Walaupun hanya seketika, ia sangat bermakna. Saya masih boleh membayangkan setiap sudutnya, reka bentuknya, suasananya.
“Hari ini saya ucapkan selamat tinggal. Rumah hanyalah bentuk, tetapi kenangan akan kekal hidup.
“Insya-Allah, satu hari nanti saya akan memiliki rumah yang lebih baik. Tak perlu besar cukup untuk saya berteduh, tenang, dan bahagia.
“Goodbye, rumah. Terima kasih atas segalanya,” katanya.
Semalam, selepas lebih setahun berada dalam pasaran lelong, banglo yang terletak di Selangor Polo 7, Country Club, Seksyen 10, Petaling Jaya akhirnya berjaya terjual.
Perkara itu dikongsikan ejen hartanah dikenali sebagai Ishaq Marazi menerusi hantaran di Facebook yang turut memaklumkan banglo tersebut dilelong pada harga RM3.7 juta.
Menurutnya, pada sesi lelongan pagi semalam, seramai empat pembida (bidder) bertarung bagi membeli banglo itu bermula pada harga tawaran RM3 juta.
Bagaimanapun, tiada perkongsian berhubung siapa yang berjaya membida banglo milik Nur Sajat itu.
Difahamkan, lelongan banglo Nur Sajat pagi semalam merupakan proses keenam selepas lima lelongan sebelum ini gagal menemukan pembeli.
Kali terakhir proses lelongan itu adalah pada Jun tahun lalu pada harga RM3.411 juta namun tiada pembeli ketika itu.
Ia juga merupakan harga lelongan termurah banglo itu selepas pertama kali dilelong pada harga RM5.2 juta.
Banglo bersaiz 7,000 kaki persegi yang terletak di kawasan tanah seluas 11,093 kaki persegi itu memiliki enam bilik tidur dan tujuh bilik mandi.
Kediaman itu sebelum ini pernah cuba dijual Sajat sejak dia berhijrah ke Australia pada Oktober 2021 pada harga RM9.5 juta, namun tiada pembeli. – MalaysiaGazette
















