Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Ini kerana, menurut Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, jawatan tersebut adalah amanah rakyat, bukannya beban politik.

Katanya, sebagai exco, ruang untuk berbakti kepada rakyat Melaka amat luas dan signifikan, lebih-lebih lagi ketika isu keterjaminan makanan dan kos sara hidup menjadi keutamaan nasional.

Sehubungan itu, ujar beliau, jawatan tersebut wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu rakyat, memperkasa sektor pertanian dan memperkukuh agenda luar bandar.

Dalam masa sama, tambahnya, jawatan itu juga wajar digunakan untuk membina keyakinan bahawa UMNO masih relevan, bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Malah, kerjasama yang lebih dekat dengan kementerian-kementerian Kerajaan Perpaduan perlu dilihat sebagai peluang mempercepat penyampaian bantuan dan dasar kepada rakyat Melaka, bukan dianggap sebagai kelemahan prinsip,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO mengesahkan beliau sudah berjumpa dan meluahkan hasrat serta isi hati kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dr. Muhamad Akmal sebelum ini dikatakan sedia melepaskan jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Exco Kerajaan Negeri Melaak susulan kontroversi desakan Pemuda UMNO supaya parti itu mempertimbangkan kedudukan di dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, tidak semua suara perlu dilayan dalam perjuangan politik.

Menurutnya, ada suara yang sengaja dicipta untuk melarikan fokus sebenar daripada amanah, tanggungjawab dan matlamat besar perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Namun, ujar beliau, ia merupakan kematangan seorang pemimpin ketika diuji iaitu berani mengetepikan gangguan dan fokus kepada kerja.

“Kuatkan jiwa. Berbesar hatilah dalam perjuangan. Jawatan bukan medan emosi, tetapi medan khidmat.

“Akmal tidak seharusnya tunduk kepada desakan pihak yang mahu melihat UMNO terus berpecah dan lemah.

“Hari ini, yang rakyat bijak menilai siapa yang bekerja, menyatu dan mempertahankan amanah. Di situlah sepatutnya fokus kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast