Salah satu tarikan pelancongan di Norway adalah fenomena aurora borealis. Foto- media sosial

KUALA LUMPUR – Tujuh rakyat Malaysia diusir dari Nordland, Norway kerana menawarkan pakej pelancongan aurora secara haram di Tromso, Lofoten dan Nordland.

Menurut media rasmi Norway, NRK, pengendali-pengendali pakej pelancongan haram ini tidak mempunyai permit kerja di Norway.

Selain diusir, kesemua rakyat Malaysia berkenaan turut dilarang daripada memasuki Norway, Kesatuan Eropah serta negara-negara Schegen selama dua tahun.

Pengendali-pengendali pakej pelancongan haram ini kebiasaannya menawarkan harga yang lebih murah di samping membawa pelancong menggunakan kenderaan sewa untuk merentasi sempadan dari Sweden ke Finland.

Para pelancong turut ditawarkan pelbagai pengalaman safari dan alam semula jadi.
Menurut pihak berkuasa, pengendali pelancongan haram ini mendekati para pelanggan mereka menerusi kumpulan peribadi di media sosial.

Menurut seorang wanita rakyat Malaysia yang ketika ini tinggal di Scandinavia, Azira Aziz, di bawah undang-undang Norway, perkhidmatan pelancongan tidak berdaftar tidak dikira pendapatan sampingan sebaliknya ia dikategorikan sebagai perniagaan haram.

Katanya, sangat bahaya untuk menyertai pengendali tidak berlesen kerana mereka tidak boleh menyediakan insurans manakala pemandu kenderaan pula tidak memiliki permit.

Sekiranya sesuatu yang buruk berlaku contohnya cuaca bersalji, pelancong akan berdepan bahaya dan tidak dilindungi undang-undang.

Jelas beliau, pihak berkuasa Norway bukan anti-pelancong sebaliknya negara tersebut memiliki undang-undang yang ketat bagi memastikan semua pelancong selamat sepanjang berada di negara itu di samping melindungi industri pelancongan mereka.

Beliau menasihati rakyat Malaysia yang merancang untuk mengembara ke Norway untuk memilih pengendali pelancongan berdaftar dan berlesen di Norway.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast