BATU PAHAT – Sebuah lori terbabas lalu kemalangan mengakibatkan muatan sayur berselerak dan minyak sayur tumpah di Kilometer 140.2, Lebuh Raya Utara Selatan, Yong Peng di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Rafidi Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.53 pagi
Susulan itu seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 45 kilometer.
“Setibanya di tempat kejadian didapati terdapat sisa tumpahan minyak sayur sepanjang 10 meter. Pihak bomba bertindak menabur habuk kayu di kawasan tumpahan hingga selesai operasi.
“Ia bagi mengelak permukaan jalan licin dan berbahaya. Operasi berkenaan selesai pukul 10.13 pagi,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette
















