ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ketinggalan 0-1 selepas Kuching City FC berjaya merobek gawang pada separuh masa pertama tidak melunturkan semangat tuan rumah untuk bangkit mencipta kejutan dan kejayaan.
Pengendali JDT, Xisco Munoz tidak mahu anak buahnya putus asa sebaliknya meniupkan kata-kata perangsang untuk membakar semangat mereka supaya mengaum semula pada separuh masa kedua.
Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, taktikal psikologi yang disampaikan di bilik persalinan berjaya menjadi seperti satu amanat untuk pemain bingkas bangun dan berjaya menembusi jaring Kuching City FC.
“Mesej utama yang disampaikan kepada pemain di bilik persalinan adalah untuk kekal lebih kuat dari segi mental, tidak hilang fokus, selain mengekalkan tenaga, karakter dan kuasa permainan yang sama sebagaimana yang dirancang lebih awal.
“Ketika di bilik persalinan, saya beritahu mereka untuk terus ‘switch on’, buat keputusan lebih baik dan kekal lebih kuat.
“Ini kerana, mereka perlu terus bermain dengan tenaga yang sama, karakter yang sama dan kuasa yang sama, walaupun berdepan beberapa detik sukar kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan malam tadi.
Dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini, JDT menang 2-1 hasil jaringan Nacho Méndez pada minit ke- 58 dan Bergson Da Silva pada minit ke-64.
Pada perlawanan itu, JDT terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan daripada Kuching City FC hasil ledakan Scott Woods pada minit ke-40.
Namun Nacho Mendez menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-58 diikuti Bergson Da Silva pada minit ke-64 bagi mengesahkan kemenangan.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Selatan itu terus gah mendominasi carta Liga Super dengan 45 mata sementara Kuching City FC dengan 28 mata hasil lapan kemenangan, empat kali seri dan tewas dua kali setekah mengharungi 14 perlawanan.
Mengulas lanjut, Munoz berkata, ketika memberi amanat itu, barisan pemain juga dingatkan agar tidak mudah kecewa serta mampu mengawal emosi dalam situasi tertentu di sepanjang perlawanan.
Pada masa sama, beliau melahirkan rasa gembira dengan usaha pengurusan JDT yang sentiasa mahu meningkatkan kualiti pasukan.
Katanya, antara langkah yang dilaksanakan pihak pengurusan skuad Harimau Selatan itu adalah membawa masuk pemain baharu.
“Itulah kekuatan JDT. Kami ada skuad yang baik dan ramai pemain yang berkualiti.
“Bagi saya, kesemua pemain baharu mempunyai kualiti masing-masing dan mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan.
“Malah, pemain yang masuk dari bangku simpanan juga memberikan satu ekstra (nilai tambah) kepada pasukan,” katanya.- MalaysiaGazette















