Shabudin Mat (kiri) dan pasukannya bersama-sama Terowong angin UTM Aerolab antara yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara.

JOHOR BAHRU – Pusat Penyelidikan Aeronautik Universiti Teknologi Malaysia (UTM Aerolab) menjadi satu-satunya fasiliti terowong angin subsonik di Malaysia yang diiktiraf peringkat antarabangsa selain aktif menjalin kerjasama penyelidikan dengan institusi dan industri global.

UTM Aerolab merupakan ahli penuh Subsonic Aerodynamic Testing Association (SATA) sejak 2002 menjadikannya satu-satunya terowong angin di Malaysia yang memiliki pengiktirafan itu setaraf dengan kemudahan terowong angin milik organisasi antarabangsa seperti Boeng dan NASA.

Pengarah UTM Aerolab, Prof. Madya Ir. Dr. Shabudin Mat berkata, pusat itu bukan sahaja menyokong pengajaran dan penyelidikan universiti, malah berperanan sebagai platform ujian, perundingan serta kolaborasi bersama-sama rakan industri dan institusi penyelidikan dari dalam dan luar negara.

“Selain menyokong keperluan industri tempatan, UTM Aerolab turut menjalin kerjasama antarabangsa dalam penyelidikan aerodinamik, reka bentuk pesawat dan teknologi berkaitan, termasuk dengan institusi penyelidikan di Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kerjasama antarabangsa yang dijalinkan termasuk dengan Indonesian Low Speed Wind Tunnel (ILST), institusi kejuruteraan aeroangkasa di Perancis serta universiti teknikal di Turkiye, melibatkan penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran dan pembangunan teknologi aeronautik.

Dengan keluasan fasiliti mencecah kira-kira 180 kaki x 75 kaki, terowong angin UTM Aerolab antara yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara.

Selain kemudahan terowong angin berskala besar, pusat itu turut menjalankan penyelidikan dalam bidang pesawat tanpa pemandu, sistem avionik, pembakaran enjin pesawat, reka bentuk dan struktur pesawat serta simulasi kejuruteraan berkomputer.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tempoh penubuhannya, UTM Aerolab telah menerima pelbagai geran penyelidikan daripada kementerian, dana universiti serta industri.

Katanya, ini termasuk melaksanakan kerja perundingan bersama-sama agensi serta syarikat kejuruteraan berprofil tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Makmal Aeronautik UTM dinaik taraf sebagai pusat penyelidikan pada Disember 2020 dan seterusnya diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (Centre of Excellence, COE) pada 2026, sejajar dengan usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam ekosistem penyelidikan aeronautik dan aeroangkasa serantau.

Penubuhan dan pembangunan UTM Aerolab juga selari dengan sejarah UTM sebagai universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian aeronautik sejak tahun 1981.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast