KCFC tewas 2-1 kepada JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

ISKANDAR PUTERI – Walaupun tewas tipis 1-2 kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan malam tadi, Kuching City FC (KCFC) tetap membuktikan mereka bukan pasukan yang mudah ditewaskan.

Di bawah bimbingan pengendali, Aidil Sharin Sahak, KCFC menunjukkan semangat juang tinggi dan disiplin mantap sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat Liga Super.

Aidil memuji persembahan anak buahnya, terutamanya pada 15 minit awal perlawanan yang menyaksikan KCFC berjaya mengejutkan JDT dengan jaringan awal.

“Kami datang dengan persiapan rapi dan semangat tinggi. Para pemain bekerja keras dan berdisiplin mengikut perancangan. Walaupun keputusan tidak memihak, saya bangga dengan usaha mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Aidil Sharin berkata beberapa kesilapan anak buahnya dilihat dimanfaatkan JDT untuk bangkit meraih kemenangan.

Aidil menekankan bahawa berdepan pasukan bertaraf tinggi, kesilapan kecil boleh menjejaskan keputusan, terutama pada 10 minit terakhir yang menuntut ketenangan maksimum.

“Kami perlu belajar mengurus tekanan apabila mendahului, bukan bermain dalam keadaan tertekan tanpa sebab,” tambahnya.

KCFC katanya, pernah menghuni kedudukan ke-13 sebelum melonjak ke kelompok atasan dalam satu musim, membuktikan potensi sebenar pasukan.

Dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi, KCFC tewas di gelanggang tuan rumah.

Kedudukan KCFC di tangga keempat liga kini dilihat sebagai pencapaian positif.

KCFC pernah menghuni kedudukan ke-13 sebelum melonjak ke kelompok atasan dalam satu musim.

Kehadiran dua pemain import baharu juga menambah saingan sihat dalam skuad, meningkatkan mutu permainan keseluruhan.

Dalam perlawanan itu, KCFC memberikan tentangan sengit kepada JDT, yang terpaksa bermandi peluh sebelum menamatkan kemenangan ke-15 berturut-turut, mengumpul 45 mata dan kekal tanpa kalah musim ini.

Walaupun keputusan mengecewakan dari segi mata, pengalaman berharga dan semangat juang KCFC dianggap sebagai bekalan penting untuk baki perlawanan Liga Super.

Dengan prestasi stabil dan kedudukan di kelompok atas, KCFC kini berada di landasan positif untuk terus menunjukkan peningkatan, sambil membina disiplin dan ketahanan mental pemain menghadapi cabaran lebih getir pada musim ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast