JOHOR BAHRU – Sebanyak RM53,000 disumbangkan 14 syarikat hiliran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertujuan menyokong kebajikan mahasiswa menerusi Program Menu Rahmah.
Program berkenaan merupakan satu inisiatif bertujuan membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, khususnya daripada aspek keperluan makanan harian.
Penyampaiannya dilakukan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Cek Cura oleh syarikat hiliran UTM yang berlangsung sempena Kunjungan Naib Canselor UTM ke Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) di sini hari ini kelmarin.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan ekosistem syarikat hiliran UTM dalam memikul tanggungjawab sosial korporat di samping memperkukuh hubungan strategik antara universiti, industri dan komuniti.
“Keberadaan syarikat hiliran universiti bukan sekadar untuk menjana nilai ekonomi, tetapi untuk memulangkan manfaat kepada komuniti akademik yang menjayakannya,” jelas UTM.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat hiliran yang terlibat atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap komuniti kampus.
“Hubungan antara universiti dan syarikat hiliran perlu diperkukuh secara mampan. Ia bukan sekadar berkaitan pengkomersilan teknologi, tetapi juga menyentuh tanggungjawab bersama dalam menyokong kebajikan pelajar dan pembangunan insan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda inovasi dan pengkomersilan universiti perlu terus dipacu secara strategik dan berimpak tinggi, selari dengan hala tuju UTM Ascend 2030 yang menekankan penyelesaian kepada masalah sebenar masyarakat.
“Kejayaan pengkomersilan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pulangan kewangan atau penubuhan syarikat hiliran. Yang lebih penting ialah sejauh mana inovasi universiti memberi impak sebenar kepada komuniti, boleh diguna pakai, mudah diakses dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara,” ujarnya.
Dalam hal ini, beliau berkata, Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) bersama UTIM Sdn. Bhd. perlu terus memperkukuh peranan sebagai pemudah cara bagi meningkatkan keupayaan pengkomersilan dan pembangunan syarikat hiliran UTM secara lebih menyeluruh.
Secara keseluruhan, penganjuran program itu mencerminkan komitmen UTM dalam membangunkan ekosistem inovasi dan pengkomersilan yang holistik, berdaya saing serta berteraskan kesejahteraan masyarakat
Usaha itu selaras dengan aspirasi universiti sebagai pemacu inovasi berimpak tinggi untuk negara dan moto Menginovasi Penyelesaian Lestari.- MalaysiaGazette
















