Majlis pelancaran inisiatif itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Sen Dr. Zulkifli Hasan, semalam.

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah secara rasmi melancarkan Wakaf Media iaitu satu inisiatif yang menggabungkan konsep wakaf dengan medan dakwah dan penyiaran Islam bagi menyokong penyebaran ilmu serta pembangunan kandungan Islamik yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Majlis pelancaran inisiatif itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Sen Dr. Zulkifli Hasan semalam.

Melalui pelaksanaan Wakaf Media, dana wakaf yang dikumpulkan akan dimanfaatkan bagi membiayai penerbitan kandungan ilmiah Islamik, pembangunan aset serta fasiliti media penyiaran dan dilaburkan dalam instrumen patuh syariah bagi menjana manfaat wakaf yang berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, usaha yang dimulakan stesen televisyen itu diharap mampu membuka satu ruang baharu buat umat Islam khususnya dalam menentukan program dakwah yang sesuai sekali gus akan menjadi bekalan penting buat generasi akan datang.

“Melihat cabaran yang dihadapi kita kini khususnya umat Islam, kita tahu media ini penggunaannya meluas dan Waqaf Media ini diwujudkan dalam memberi peluang kepada umat dalam menikmati program-program dakwah yang akan disediakan media Islam sendiri.

“Sebagai langkah permulaan, sebahagian dana Wakaf Media akan menyokong penerbitan dua program utama iaitu Quran@114 dan Hadis@114.

“Kedua-dua program ini bertujuan memperkenalkan keseluruhan 114 surah al-Quran dan 114 hadis terpilih secara sistematik, berperingkat dan mudah difahami oleh semua lapisan Masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelancaran inisiatif itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Dalam ucapannya beliau berkata, inisiatif wakaf media yang digerakkan itu bukan sekadar memenuhi keperluan semasa era digital, bahkan membuka ruang kepada umat Islam untuk melabur dalam amalan yang pahalanya berterusa, di samping menyumbang kepada pembinaan ummah yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran zaman.

Katanya, pada masa kini, media bukan lagi sekadar saluran hiburan atau penyampaian berita semata-mata, bahkan telah berkembang menjadi instrumen penting dalam membentuk pemikiran, nilai dan akhlak masyarakat.

“Sehubungan dengan itu, usaha memperkasa dakwah melalui media tidak mungkin dapat dijayakan tanpa kerjasama dan komitmen para pengamal media itu sendiri.

“Oleh sebab itu, kehadiran TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran Islam amat signifikan dalam memastikan mesej Islam yang sahih, sederhana dan berteraskan rahmah terus disampaikan dan dijadikan panduan kepada ummah,” katanya.

Sementara itu, Program Quran@114 bukan sekadar membacakan ayat-ayat suci al-Quran, tetapi mengajak masyarakat memahami mesej, pengajaran dan hikmah di sebaliknya manakala Hadis@114 pula menghubungkan masyarakat dengan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan hidup yang menyeluruh dan relevan sepanjang zaman.

Dalam pada itu, Yayasan Waqaf Malaysia akan berperanan sebagai Pengurus Dana Wakaf, memastikan pengurusan dana dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan patuh syariah, selaras dengan kerangka pentadbiran wakaf negara serta penyelarasan bersama Majlis Agama Islam Negeri selaku Pemegang Amanah Tunggal wakaf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast