KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya garis-garis merah yang ditetapkan parti itu sebagai syarat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dilanggar `tangan-tangan gatal’ dengan sengaja.
Menurut beliau, ia dilakukan bagi membangkitkan kemarahan UMNO seterusnya mahu melihat parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Ini kerana, dakwanya, pihak-pihak terbabit berasakan keberadaan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini sebagai `duri dalam daging’ disebabkan ketegasan UMNO membantah agenda yang cuba dibawa mereka.
Tambahnya, pelbagai usaha juga dibuat pihak berkenaan untuk menaikkan emosi UMNO dengan harapan ahli-ahli parti itu terus marah dan melenting.
Apatah lagi, kata beliau, pihak itu pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah lalu kalah teruk tanpa menang waima satu kerusi pun.
“Jika kita buat keputusan meninggalkan Kerajaan Perpaduan, maka bersoraklah mereka, memang itu pun yang mereka mahukan,” katanya pada sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.
Menurut Mohamad, sekiranya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan disebabkan termakan dengan hasrat pihak terbabit, maka sejarah kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 akan berulang.
Ketika itu, ujarnya, kerajaan PH 1.0 bebas berbuat sesuka hati dan sewenang-wenangnya kerana tiada pihak yang membantah atau membangkang mereka dari dalam kerajaan.
Mohamad memberikan contoh apa yang berlaku kepada tanah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di pusat bandar raya yang dijual ketika itu sedangkan harga aset itu kini sekiranya berjaya diselamatkan sudah melebihi lima kali ganda.
Begitu juga, ujarnya, hotel dan ladang-ladang Tabung Haji serta syarikat pengurusan hospital pakar kedua terbesar dunia di bawah Khazanah yang dijual tanpa ada mana-mana pihak yang membantah.
“(Aset-aset ini) Bukan dijual untuk dapat duit sangat, tetapi mereka tahu hasrat dan roh penubuhan entiti itu (berteraskan Melayu)
“Jadi apakah kita mahu ulangi peristiwa itu? Bagi saya kita perlu fikir panjang dan mesti bijak dalam bertindak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak takut dengan DAP, sebaliknya mesti tegas supaya agenda Melayu di negara ini dapat diteruskan.
“Mengapa kita perlu takut dengan DAP…UMNO kalau Melayu bersatu British pun kita halau pada 1957.
“Kalau setakat DAP pun kita takut, tak tahu lah saya…saya belum takut dengan DAP lagi…dan saya tak mahu orang UMNO takut dengan DAP, kita mesti teruskan supaya agenda Melayu diteruskan dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















