KUALA LUMPUR – Sektor pertanian di Kedah memerlukan suntikan segera dan bukan sekadar janji di atas kertas, demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerlun, Nazri Arshat.
Beliau berkata, tanggungjawab sebagai jurucakap Pemuda UMNO Kedah digunakan sepenuhnya untuk mendesak kerajaan memperhalusi lapan usul kritikal yang menjadi rintihan utama pesawah pada masa kini.
“Saya membawa amanah petani-petani di Kedah. Antara yang paling mendesak ketika adalah mengembalikan semula insentif RM600 sebagai bantuan sara hidup sementara menunggu hasil padi masak.
”Dulu, ia diberikan ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana Menteri. Selepas 2018, ia telah ditarik semula.
“Para petani amat terkesan dan saya berharap ia dapat dikembalikan semula untuk membantu mereka,” katanya semasa perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Beliau berkata, insentif itu merupakan satu daripada lapan tuntutan yang dilihat wajar diberi perhatian.
“Selain itu, isu kualiti benih padi dan serangan perosak yang kian meruncing memerlukan formula tuntas daripada pihak berkuasa. Ada isu di sebalik perkara ini di mana racun yang digunakan tidak mampu mematikan serangga, tak tahu kenapa sedangkan ia adalah racun bersubsidi.
“Tolonglah semak semula perkara ini,” katanya lagi.
Jelasnya lagi isu infrastruktur yang sudah lama membelenggu kelancaran proses penanaman padi di negeri itu juga antara yang dilihat perlu diberikan keutamaan.
“Saya mendesak agar projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sudah tertangguh selama 14 tahun diselesaikan segera bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada petani.
“Kita juga mohon agar bajet penyelenggaraan parit gila dan sungai diberikan semula untuk kekerapan empat kali setahun bagi memastikan sistem pengairan berada pada tahap terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Nazri berharap pihak berkuasa dapat memberikan perhatian pada aspek teknikal dan pasaran.
“Saya cadang agar penggunaan dron untuk tujuan pertanian dimudahkan tanpa kerenah birokrasi permit dan lesen yang membebankan.
“Seperti ada yang mengambil kesempatan apabila mengenakan harga yang cukup tinggi pada dron ini, ia sangat membebankan petani kerana kos itu perlu ditanggung sendiri oleh mereka,” ujarnya.
Nazri juga turut menekankan keperluan menetapkan harga padi serta jumlah potongan lebih awal sebelum musim menuai, selain mendesak kerajaan memastikan beras putih tempatan kembali mendominasi pasaran.
“Jangan biarkan rakyat terus tercari-cari beras tempatan di pasaran sendiri. Inilah masanya untuk kita memulihkan semula maruah sektor pertanian negara,” tegasnya lagi.
Usul tersebut dilihat sebagai usaha Pemuda UMNO Kedah untuk memastikan parti itu kekal sebagai jurucakap utama dalam membela nasib golongan petani, khususnya di kawasan luar bandar. – MalaysiaGazette
















