KUALA LUMPUR – Pelbagai isu kebajikan pelajar Malaysia di luar negara termasuk skim insurans, elaun sara hidup, pengiktirafan profesional serta ketidakpadanan graduan dengan pasaran pekerjaan dibangkitkan Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara.
Said Mubarak Said Ahmad menggesa kerajaan dan agensi berkaitan meneliti perkara itu dengan penuh keprihatinan.
Antara cadangan utama ialah mewujudkan skim insurans khas untuk pelajar Malaysia di Mesir melalui perjanjian dua hala, sepertimana yang telah dinikmati oleh pelajar Malaysia di negara lain.
“Pelajar tajaan MARA di Korea Selatan juga berdepan masalah kekurangan elaun insurans berikutan kos yang meningkat setiap tahun…Saya mohin MARA (Majlis Amanah Rakyat) mempertimbangkan semula kadar bantuan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2025) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Selain itu, Said Mubarak turut mengetengahkan krisis perumahan di Sydney, Australia yang menyebabkan kadar sewa meningkat mendadak.
Keadaan itu, katanya, memberi tekanan besar kepada pelajar tajaan MARA apabila elaun sedia ada tidak lagi mencukupi sehingga memaksa hampir semua mahasiswa di Sydney bekerja sambil belajar bagi menampung kos sara hidup.
Beliau berharap isu tersebut disemak dengan penuh ihsan.
“Saya mencadangkan agar pelajar Malaysia yang menuntut dalam bidang Islam di Timur Tengah diberikan satu perwakilan rasmi dalam Majlis Ulama bagi memastikan suara dan pandangan generasi baharu turut diangkat dalam wacana keilmuan negara,” ujarnya.
Said Mubarak turut menzahirkan kebimbangan terhadap nasib mahasiswa Malaysia dalam bidang perubatan dan pengajian agama di Indonesia yang tidak menerima sebarang pinjaman pengajian daripada agensi kerajaan.
Menurutnya, mereka terpaksa menanggung sendiri kos sara hidup serta yuran pengajian yang tinggi khususnya pelajar perubatan.
Beliau juga membangkitkan isu pengiktirafan kelayakan akademik oleh Malaysia Medical Council (MMC) dan Lembaga Farmasi Malaysia yang menjejaskan sebahagian graduan luar negara.
Katanya, ramai mahasiswa telah berkorban masa, tenaga dan kewangan namun berdepan kesukaran mendapatkan pengiktirafan profesional selepas tamat pengajian.
Mengulas isu kebolehpasaran graduan, Said berkata, masalah ketidakpadanan antara bidang pengajian dan keperluan industri menyebabkan graduan terpaksa bekerja di luar bidang masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan menyediakan latihan kemahiran intensif serta menyelaraskan kurikulum dengan kehendak industri supaya graduan bukan sahaja berpengetahuan, malah memiliki kemahiran khusus yang diperlukan pasaran kerja. – MalaysiaGazette
















