KUALA LUMPUR – UMNO Perlis memberi amaran Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang bakal penentu hidup mati parti itu di negeri berkenaan sekiranya kegagalan lalu diulang, khususnya dalam soal pemilihan calon dan perpecahan dalaman.
Jurucakap Perlis merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau, Yusuff Man berkata, kekalahan teruk UMNO di Perlis sebelum ini bukan kebetulan, sebaliknya hukuman jelas rakyat terhadap konflik dalaman, kepimpinan bermasalah dan calon yang tidak diterima pengundi.
“UMNO di Perlis bukan sekadar kalah, tetapi dihukum. Ini bukan faktor luar, ini mesej rakyat yang mesti kita terima,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Menurutnya, rakyat Perlis sudah bosan dengan pemimpin yang hanya muncul menjelang pilihan raya, selain muak dengan budaya berpuak dan amalan sabotaj dalaman yang merosakkan jentera parti.
Yusuff berkata, UMNO tidak boleh lagi mempertahankan individu yang telah ditolak rakyat semata-mata kerana jawatan atau kedudukan dalam parti.
“Jika kita terus memilih calon yang bermasalah persepsi, calon payung terjun atau calon yang hanya kuat dalam parti tetapi lemah di luar, kita sebenarnya menyerahkan kemenangan kepada lawan,” ujarnya.
Beliau menegaskan PRN Perlis bukan medan eksperimen atau ‘try and error’, sebaliknya medan pertempuran yang menentukan sama ada UMNO masih relevan atau akan terus ditolak.
Menurutnya, UMNO Perlis hanya boleh menang jika calon yang diketengahkan benar-benar dikenali, mampu bekerja, bersih, berwibawa dan diterima rakyat setempat, bukan sekadar diterima segelintir pimpinan.
Dalam masa sama, Yusuff berkata, budaya sabotaj dalaman mesti dihentikan sepenuhnya kerana ia menjadi antara punca utama kejatuhan UMNO di Perlis.
“Kalau kita tidak berani menolak yang lemah dan menghentikan sabotaj dalaman, rakyat akan terus menolak kita semua,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan Perlis, walaupun kecil dari segi bilangan kerusi, mempunyai implikasi besar di peringkat nasional dalam PRU akan datang.
“Satu kesilapan strategi di Perlis boleh menjejaskan imej parti di peringkat nasional,” katanya.
Yusuff menegaskan UMNO masih mempunyai peluang untuk bangkit di Perlis, namun hanya jika parti itu benar-benar berubah dan tidak mengulangi resipi kegagalan lama.
“Jika kita betul-betul berubah, Perlis boleh menang. Jika kita berpura-pura berubah, PRN akan datang menjadi upacara pengebumian UMNO di negeri ini,” katanya. -MalaysiaGazette
















