Timbalan UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendengar perbahasan Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan atas dasar menyelamatkan negara ketika berlakunya kebuntuan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan kerana sebarang pakatan ideologi dengan DAP.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu dibuat selepas negara berdepan situasi lima hari tanpa kerajaan yang memerlukan penyelesaian segera demi kestabilan negara.

Menurut Mohamad, kerjasama yang wujud hanyalah dalam konteks pentadbiran negara dan tidak pernah bermaksud UMNO ‘bersama’ DAP seperti yang didakwa pihak tertentu.

“Kita bukan bergabung secara politik. Kita bersetuju untuk mentadbir negara kerana ketika itu negara berada dalam keadaan tidak menentu dan tanpa kerajaan,” katanya ketika ditemui media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas gesaan beberapa pemimpin Pas yang mendesak UMNO memutuskan hubungan dengan DAP kononnya bagi menjayakan agenda ‘Rumah Bangsa UMNO’.

Mohamad mendedahkan, sejurus keputusan PRU-15 diumumkan, beliau sendiri mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan namun cadangan itu tidak dipersetujui.

Katanya, keadaan menjadi lebih genting apabila PN menolak titah Yang di-Pertuan Agong menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional dipanggil bagi mencari jalan keluar bagi krisis tersebut.

“Keutamaan kami pada masa itu ialah kepentingan negara. Negara tanpa kerajaan adalah sesuatu yang sangat berbahaya,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dibuat dengan syarat dan batasan yang jelas termasuk perkara-perkara yang tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak masuk tanpa prinsip. Ada garis merah yang kita tetapkan,” tegasnya.

Mohamad turut memberi peringatan kepada rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan supaya tidak memandang ringan kedudukan dan peranan UMNO walaupun berada dalam pentadbiran yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast