Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman menyampaikan perbahasan pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – UMNO Johor mengingatkan ahli parti agar tidak goyah berdepan cabaran semasa dan menegaskan hala tuju UMNO mesti ditentukan oleh kekuatan dalaman parti, bukan tekanan atau pengaruh luar.

Jurucakap Johor merangkap Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, UMNO bukan sebuah parti yang lahir dalam keadaan selesa, sebaliknya dibina melalui tekanan dan ujian sejak penubuhannya, serta kekal bertahan kerana kesetiaan ahlinya.

“UMNO tidak dibina di atas jalan mudah. Parti ini lahir dalam tekanan, membesar dalam ujian dan terus hidup kerana kesetiaan ahlinya.

“Selagi UMNO berpaut pada kebenaran, keadilan dan keberanian mempertahankan prinsip, perjuangan ini tidak akan mati,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Dalam ucapannya, Abdul Halim turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan kepada Johor yang disifatkan sebagai tidak berbelah bahagi.

Menurutnya, sokongan itu diterjemahkan melalui pelaksanaan projek pembangunan luar bandar, projek berimpak tinggi, agenda pendidikan serta bantuan pantas ketika bencana, termasuk banjir yang melanda negeri berkenaan.

“Kami di Johor melihat sendiri bagaimana kestabilan politik di peringkat Persekutuan memberi kesan langsung kepada keupayaan negeri untuk bergerak laju dan merancang pembangunan jangka panjang,” ujarnya.

Abdul Halim berkata, hasil kestabilan tersebut, Johor kini merekodkan pertumbuhan ekonomi tertinggi di negara ini, selain mencatat kutipan hasil negeri tertinggi, hasil jualan pertanian tertinggi serta menjadi negeri pertama diiktiraf sebagai negeri pintar.

Beliau berkata, Johor juga berada pada landasan kukuh untuk mencipta satu lagi rekod nasional apabila jumlah pelaburan bagi suku keempat 2025 dijangka melepasi RM102 bilion, sekaligus menjadi jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.

“Setiap ringgit yang dijana negeri ini dipulangkan kepada rakyat. Inilah pendekatan pentadbiran yang kami pegang dan inilah bukti kemampuan UMNO mentadbir dengan berkesan,” jelasnya.

Mengulas hala tuju politik, Abdul Halim menegaskan pendirian UMNO Johor parti itu mesti berdiri atas kekuatan sendiri dalam menentukan sebarang bentuk kerjasama politik, sama ada meneruskan gabungan sedia ada, membentuk pakatan baharu atau bertanding secara solo.

“Pokok pangkalnya, UMNO tidak boleh bergantung kepada kekuatan luar atau menunggu talian hayat pihak lain. UMNO Johor mahu membina kekuatan dari dalam, berasaskan kepercayaan rakyat,” jekasnya.

Beliau turut menyuarakan keperluan agar Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) diadakan secara berasingan daripada pilihan raya umum bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri dan mandat rakyat dapat diterjemahkan dengan jelas.

Dalam masa sama, Abdul Halim memberi peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi isu atau memainkan sentimen sempit demi kepentingan politik peribadi.

“Kepada mereka yang gemar menangguk di air keruh dan mensabotaj agenda kemajuan negeri, UMNO Johor tidak akan berhenti melangkah ke hadapan. Johor akan terus bergerak dan mereka yang menghalang akan ditinggalkan,” tegasnya.

Menyentuh soal kerja akar umbi, beliau berkata, semua 26 Bahagian UMNO di Johor telah diarahkan memperkukuh gerak kerja lapangan melalui pendekatan turun padang, penyelesaian isu rakyat secara berpasukan serta kerjasama rapat dengan agensi kerajaan negeri.

Katanya, penekanan turut diberikan kepada pemantauan prestasi wakil rakyat, pemimpin tempatan dan lantikan politik bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar memberi kesan kepada rakyat di peringkat bawah.

Selain itu, Abdul Halim menyokong cadangan supaya struktur BN dikaji semula agar lebih inklusif, termasuk membuka ruang kepada parti-parti ‘Friends of Barisan Nasional’ yang selama ini setia bersama gabungan berkenaan.

“Sudah tiba masanya BN diperkukuh dengan kerangka baharu yang lebih realistik dan bersesuaian dengan landskap politik semasa,” katanya.

Beliau menegaskan, segala keputusan strategik parti perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi, dengan ahli berperanan sebagai satu pasukan dalam kapal perjuangan yang sama.

“Bagi Johor, keutamaan kami jelas, berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan memastikan UMNO kekal relevan, berwibawa serta terus mendapat kepercayaan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast