Timbalan Ketua Bahagian Umno Dungun, Nurhisam Johari menyampaikan perbahasan pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – UMNO Terengganu memohon autonomi daripada UMNO Pusat bagi menentukan kerangka kerjasama politik di negeri itu pada masa depan.

Perwakilan Terengganu, Nurhisam Johari berkata, ia termasuk untuk memilih sama ada rakan atau kawan bagi dibentuk pakatan politik lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan Pas dan DAP.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Dungun berkata, ia bagi memastikan kerjasama itu bukan sahaja relevan dan boleh diterima dalam kalangan parti, sebaliknya penerimaan rakyat Terengganu secara keseluruhannya.

Tambahnya, UMNO Terengganu sehingga kini masih dibayangi pengalaman pahit dan ngeri yang dilalui sepanjang kerjasama bersama Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) 1.0.

“Ketika MN 1.0, kami (UMNO) di Terengganu menderita dengan pelbagai helah, kami didera dengan pelbagai tipu muslihat dan disisihkan semahu-mahunya dengan pelbagai alasan.

“Seperti di negeri-negeri yang ada DAP dan mereka kecewa dengan pelbagai gelagat songsang DAP, kami di Terengganu lebih kecewa dengan sikap dan perangai Pas.

“Justeru, tanyalah kami, jika usaha mengembalikan MN masih bergetar dari bibir sesetengah kita,” katanya dalam perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Sementara itu, Nurhisam berkata, UMNO Terengganu mengakui dengan jujur parti itu akan berdepan kekalahan sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Ujarnya, ia bukan bermakna UMNO Terengganu mengalah sebelum berjuang, tetapi menyedari hakikat bahawa suasana atau sentimen politik di Terengganu berbanding di negeri-negeri lain amat berbeza.

“Tanpa strategi dan gerak kerja yang lebih tersusun, jangkauan kita untuk menawan semula Terengganu akan menempuh jalan sukar,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast