Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media berkenaan Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan menggadaikan kestabilan negara demi percaturan politik, sebaliknya akan terus membuat keputusan berasaskan kepentingan rakyat dan kestabilan politik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO sebagai parti yang mempunyai pengalaman panjang mentadbir negara memahami kestabilan politik menjadi asas kepada keyakinan pelabur dan prestasi ekonomi negara.

“Kalau kita lihat indikator ekonomi, pelaburan dan keyakinan pelabur, semuanya menunjukkan tanda-tanda yang positif. Asas kepada semua ini ialah kestabilan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pusat media dan beramah mesra dengan pengamal media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025, hari ini.

Asyraf berkata, fokus utama UMNO ketika ini adalah untuk mengukuhkan kerajaan sedia ada bagi memastikan kestabilan dapat dicapai dan kemakmuran rakyat dapat dipertahankan.

Mengulas spekulasi berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau menegaskan UMNO belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

“Kita tidak ada apa-apa keputusan berkenaan dengan itu. Kalau faham apa yang disebut presiden, yang paling penting ialah mengukuhkan kerajaan sedia ada,” ujarnya.

Menurut beliau, UMNO akan sentiasa membuat keputusan politik dengan mengambil kira tanggungjawab kepada rakyat, kerana keputusan yang mencetuskan ketidakstabilan akan memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

“Kalau UMNO membuat keputusan politik yang tidak memikirkan soal rakyat, akhirnya rakyat akan menghukum kerana ketidakstabilan itu akan memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan isu penangguhan pemilihan parti bukan keputusan baharu, sebaliknya telah diputuskan oleh perwakilan UMNO melalui pindaan perlembagaan dalam beberapa Perhimpunan Agung sebelum ini.

“Apa yang diputuskan oleh perwakilan UMNO tiga tahun lepas itu ada kebijaksanaan,” tegasnya.

Beliau berkata, UMNO memerlukan kekuatan dalaman dan tidak boleh terperangkap dalam polemik dalaman ketika berdepan keperluan menghadapi pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast