Jurucakap Wanita UMNO Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh.

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Johor menggesa pelaksanaan kuota minimum 30 peratus wanita dalam semua struktur pembuat keputusan parti dan kerajaan dilaksanakan secara menyeluruh, sebagai langkah strategik memperkukuh kekuatan UMNO serta memastikan suara wanita tidak terpinggir.

Jurucakap Wanita UMNO Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis, Haslinda Salleh berkata, keupayaan kepimpinan wanita bukan lagi persoalan, sebaliknya yang diperlukan kini ialah peluasan ruang dan peluang.

“Kepercayaan rakyat hari ini tidak dibina dengan janji, tetapi melalui prestasi dan keupayaan menyelesaikan masalah.

“Wanita UMNO Johor memilih untuk membuktikan kemampuan melalui kerja, bukan sekadar kata-kata,” bahasnya ketika berucap pada Persidangan Wanita UMNO Malaysia.

Sambung beliau, prestasi pilihan raya membuktikan kekuatan Wanita UMNO Johor apabila mencatat kadar kemenangan 66.7 peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, manakala pada PRU15, calon wanita UMNO Johor mencatat kemenangan 100 peratus di peringkat Parlimen.

Haslinda berkata, kejayaan tokoh wanita Johor seperti Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di peringkat nasional turut mengukuhkan hujah bahawa wanita UMNO Johor mampu menggalas amanah besar dalam pentadbiran negara.

Di peringkat negeri, katanya, barisan Ahli Dewan Negeri wanita UMNO Johor berperanan penting memastikan dasar kerajaan dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh selain menjadi penghubung antara dasar dan realiti rakyat.

Namun, beliau mengakui perwakilan wanita dalam struktur pembuat keputusan masih belum mencerminkan potensi sebenar, justeru pembangunan kepimpinan wanita perlu dilaksanakan secara sistematik dan berterusan.

“Program pemantapan kepimpinan wanita mesti dilihat sebagai pelaburan jangka panjang parti, merangkumi pembinaan pemikiran strategik, ksetiausaha pejabatomunikasi dasar, pengurusan krisis dan kebolehan membuat keputusan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan keperluan pengkaderan calon wanita secara terancang dari peringkat akar umbi agar parti tidak ketandusan calon berwibawa apabila berdepan pilihan raya.

Mengulas lanjut, Haslinda berkata, pelaksanaan kuota 30 peratus wanita wajar dilihat sebagai mekanisme memperkukuh parti, selari dengan hakikat bahawa wanita membentuk hampir separuh daripada pengundi berdaftar di negara ini.

“Kuota ini bukan simbolik, tetapi satu keperluan strategik supaya bakat, pengalaman dan kebijaksanaan wanita dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kuota wanita diperluaskan ke jawatankuasa dan lembaga berkaitan kerajaan bagi memastikan dasar yang dirangka lebih inklusif, berperikemanusiaan dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

Dalam konteks Johor, Haslinda berkata negeri itu kini mencatat jumlah wakil rakyat wanita Barisan Nasional paling ramai, iaitu dua Ahli Parlimen dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berharap angka tersebut dapat ditingkatkan pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menegaskan peranan wanita sebagai penentu kemenangan pilihan raya, selain menyeru Wanita UMNO Johor tampil sebagai suara penyatu dalam landskap politik yang semakin terpolarisasi.

“Wanita bukan lagi pemerhati, tetapi ‘kingmaker’. Dengan pendekatan matang dan berprinsip, Wanita UMNO Johor mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap politik yang stabil dan berfokus,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast