KUALA LUMPUR – Parti UMNO selayaknya mengepalai dan melontarkan idea serta merintis jalan ke arah kolaborasi agung bagi menyatukan semua parti-parti berteraskan Islam dan Melayu.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia merangkumi parti-parti seperti Pas; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Parti Keadilan Rakyat (PKR); Parti Amanah Negara (Amanah) serta parti-parti kecil lain.
“UMNO adalah abang besar yang menyatukan adik-adik yang bertelingkah kerana politik.
“Kolaborasi agung adalah jambatan yang mencontohi risalah Nabi (Muhammad SAW) satukan Aus Khazraj yang bertelingkah dan berperang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri menambah, perpecahan umat Islam dan orang Melayu tidak menguntungkan, malah melemahkan serta merencat pembangunan negara.
“Saya mendukung penuh `kolaborasi agung’ yang tentu sahaja dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam dan Melayu dalam negara ini.
“Ia adalah jambatan bagi silaturahim yang terputus kerana politik kepartian. Inilah perjuangan yang wajar didukung oleh semua tanpa kecuali jika kepentingan agama, bangsa dan tanah air yang kita dambakan,” katanya.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 berkata, parti itu akan melaksanakan kolaborasi agung melibatkan semua parti politik Melayu-Islam bagi menjalin kerjasama ke arah penyatuan dari segi pemikiran dan gerak kerja khususnya dalam menterjemahkan agenda Melayu-Islam. – MalaysiaGazette
















