KUALA LUMPUR – UMNO di Wilayah Persekutuan ditolak kerana kegagalan kronik kepimpinan parti itu sendiri yang terperangkap dalam budaya lama serta sarat dengan krisis kepercayaan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Mohammad Rais Hamda berkata, rakyat bandar tidak lagi boleh diperdaya dengan slogan kosong dan nostalgia kuasa silam.
Menurutnya, selagi UMNO terus menafikan realiti, menyalahkan pihak lain dan mempertahankan watak serta amalan yang ditolak rakyat, selagi itulah parti itu akan kekal dihukum di peti undi.
“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, warga Wilayah Persekutuan telah menunjukkan dengan jelas sokongan mereka digerakkan oleh prestasi, integriti dan keupayaan mentadbir, bukan oleh bentuk kerjasama politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas gesaan Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin supaya Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan keluar daripada Kerajaan Perpaduan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Berucap sebagai Perwakilan Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 semalam, Nasrun berata, gesaan itu dibuat susulan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) didakwa gagal memberi manfaat politik kepada parti itu serta semakin menjauhkan sokongan orang Melayu.
Sementara itu, Mohammad Rais menyifatkan dakwaan kononnya kerjasama dengan PH semakin menjauhkan orang Melayu dengan UMNO tidak selari dengan realiti memandangkan perubahan sokongan rakyat berlaku jauh lebih awal daripada kerjasama tersebut.
Ujarnya, mengurangkan penilaian rakyat kepada satu faktor tunggal mencerminkan kegagalan membaca perubahan pemikiran pengundi bandar yang semakin rasional dan menuntut dasar yang berkesan.
“Rakyat tidak menghukum kerjasama, mereka menghukum kegagalan untuk berubah dan memperbaiki,” katanya.
Lebih malang, tambah beliau, Pemuda UMNO yang sepatutnya menjadi suara pembaharuan kini sekadar mengulangi retorik usang pimpinan lama.
Ujarnya, sikap itu bukan sahaja memalukan, malah membuktikan krisis UMNO bukan masalah struktur semata-mata, tetapi kegagalan generasi mudanya sendiri untuk bangkit melangkaui bayang-bayang politik lama yang telah ditolak rakyat.
“Dalam konteks pasca PRU-15, kerjasama politik bukan satu kelemahan, tetapi satu keperluan kenegaraan demi kestabilan dan pembaharuan.
“Menolaknya tanpa alternatif yang jelas hanya akan menjauhkan parti daripada aspirasi sebenar rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















