PDRM FC tewas 1-10 ke atas JDT dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.- Foto ihsan Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – Pengendali PDRM FC, Eddy Gapil menyifatkan dua gol awal Johor Darul Ta’zim (JDT) memusnahkan semangat dan moral anak buahnya hingga tewas 1-10 dalam perlawanan malam tadi.

Beliau berkata, juara bertahan, serangan JDT pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim itu ‘mematikan’ semangat serta fokus kesebelasan PDRM FC.

Eddy berkata, walaupun masih mampu mengimbangi permainan selepas dibolosi dua gol awal pada babak pertama, dua gol awal pada babak kedua menjadi titik perubahan di sepanjang perlawanan.

“Kita masih boleh lawan pada separuh masa pertama walaupun ketinggalan dua gol. Tetapi dua gol awal pada separuh masa kedua benar-benar menjatuhkan moral pemain.

“Selepas itu, kebanyakan gol yang terhasil berpunca daripada kesilapan pemain kita sendiri,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Eddy turut mengakui pasukan kendaliannya berada dalam keadaan tempang selepas kehilangan empat pemain import utama yang menjadi tulang belakang skuad.

Menurutnya, pemain pertahanan dari Myanmar Kyaw Min Oo telah menyertai Terengganu FC, penyerang Henry Dlumbia dari Ivory Coast pula berhijrah ke kelab Indonesia, Bhayangkara FC, pemain pertahanan, Noel Agbre juga dari Ivory Coast (Melaka FC) dan peman tengah, Ahmad Israiwah (Jordan) pula masih dalam perbincangan untuk meninggalkan pasukan.

Jelasnya, kehilangan mereka memberi kesan besar kepada keseimbangan pasukan secara keseluruhannya.

“Apa pun, kita terpaksa menyusun semula pasukan dan beraksi dengan pemain yang ada,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast