KUALA LUMPUR – Tiga resolusi yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 iaitu berkenaan rumah bangsa; mengembalikan semula UPSR dan PT3 serta skim perlindungan khas guru sepatutnya menjadi fokus utama dan perlu diberi penjelasan kepada rakyat.
Ini kerana, menurut Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah, resolusi-resolusi itu amat dekat di hati rakyat malah merupakan teras perjuangan UMNO iaitu berkenaan soal perpaduan, pendidikan dan kebajikan.
Namun ruang media sosial hari ini masih dipenuhi polemik lama tentang isu UMNO dan DAP yang tidak berkesudahan sedangkan resolusi yang diluluskan jauh lebih penting untuk masa depan rakyat tanpa mengira agama, kaum mahupun fahaman politik.
Sebagai contoh, ujar beliau, agenda Rumah Bangsa adalah gagasan penyatuan dan perpaduan nasional yang menjadi platform untuk merapatkan jurang sesama rakyat, memperkukuh kestabilan serta membina masa depan Malaysia yang lebih harmoni.
Selain itu, tambahnya, isu mengembalikan semula UPSR dan PT3 pula merupakan rintihan sebenar ibu bapa yang kerana hari ini tiada lagi penilaian besar dalam perjalanan pendidikan anak-anak sebelum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Tanpa peperiksaan seperti UPSR dan PT3, bagaimana kita mahu mengukur tahap kefahaman, kebolehan dan perkembangan pelajar?
“UMNO mendengar suara akar umbi dan membawa perkara ini sebagai resolusi demi masa depan generasi pewaris negara. Alhamdulillah, ia telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Armand Azha berkata, resolusi skim perlindungan khas untuk guru pula merupakan langkah penting dalam menjaga kebajikan dan keselamatan warga pendidik yang berdepan cabaran besar mendidik anak bangsa.
Ujarnya, guru adalah tonggak pembentukan jati diri, disiplin dan akhlak generasi masa depan maka perlu diberikan perlindungan sewajarnya.
“Bagi UMNO, semua ini adalah agenda rakyat. Sejak dahulu hingga kini, UMNO kekal konsisten memperjuangkan perkara yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat walaupun dalam keadaan sokongan yang belum cukup besar.
“UMNO memilih langkah matang dan dasar yang membina, bukan retorik politik yang tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak ahli-ahli dan pendukung UMNO bersama-sama memberikan penjelasan serta dan penerangan tentang resolusi yang telah diluluskan pada PAU 2025 itu kepada seluruh rakyat. – MalaysiaGazette
















