Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Gagasan kolaborasi agung boleh menjadi satu kebaikan besar kepada Melayu dan Islam, jika ia dibina atas prinsip, kejelasan peranan dan kebijaksanaan kepimpinan.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, idea itu tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada mana-mana parti.

Ini kerana, pada akhirnya hanya parti yang kuat mampu memimpin penyatuan yang benar-benar memberi makna besar kepada rakyat yang sudah bosan dengan perpecahan Melayu-Islam dengan fahaman politik yang berbeza.

Tambahnya, hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan persetujuan perwakilan berhubung gagasan itu tanpa niat menggugat Kerajaan Perpaduan sedia ada juga wajar difahami sebagai langkah berfikir ke hadapan, bukannya tindakan gelojoh.

Jelas beliau, ia memberi isyarat UMNO melihat penyatuan sebagai proses berperingkat, berprinsip dan bukan percaturan yang meruntuhkan kestabilan kerajaan demi keuntungan politik jangka pendek.

“Bagi Melayu dan Islam, “grand collaboration” hanya membawa makna jika ia benar-benar mengukuhkan suara, menyatukan agenda dan mengelakkan perpecahan berterusan yang akhirnya melemahkan posisi tawar dalam negara majmuk.

“Perpecahan yang panjang bukan sahaja merugikan parti, tetapi memberi kesan langsung kepada keupayaan mempertahankan dasar-dasar berkaitan agama, pendidikan, ekonomi dan masa depan generasi Melayu-Islam,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, persoalan sama ada kolaborasi agung merupakan kebaikan atau keburukan kepada UMNO bergantung kepada bentuk, hala tuju dan prinsip kerjasama itu sendiri.

Jelasnya, jika kolaborasi agung meletakkan UMNO sebagai paksi penyatuan, dengan identiti, sejarah dan peranan UMNO sebagai `rumah besar orang Melayu’ untuk terus relevan, maka ia boleh menjadi kekuatan yang memperluas pengaruh dan mengembalikan keyakinan rakyat.

“Namun jika kerjasama itu kabur matlamatnya, mengorbankan prinsip perjuangan atau menjadikan UMNO sekadar pelengkap kepada agenda pihak lain, maka ia berpotensi melemahkan parti dari dalam,” katanya.

Sementara itu, tambah Nurulhidayah, pendirian untuk tidak menggugat Kerajaan Perpaduan juga penting kerana kestabilan negara tidak boleh dijadikan taruhan.

Jelasya, politik matang menuntut kebijaksanaan mengimbangi idealisme penyatuan dengan tanggungjawab memerintah.

“Penyatuan yang baik bukan yang lahir daripada kemarahan atau dendam politik, tetapi daripada kesedaran bahawa masa depan Melayu dan Islam memerlukan kesepakatan yang terancang dan berfasa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast