Suasana pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 15 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh terus bercakap tentang agenda Rumah Bangsa sekiranya peranan wanita muda khususnya menerusi sayap Puteri UMNO tidak benar-benar diperkasa.

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Reena Awliyatul Imani Reezal Merican berkata, dalam tuntutan sayap itu bagi melanjutkan had umur keahlian kepada 40 tahun misalnya, ia bukan soal ego tetapi berkenaan soal masa depan UMNO.

Ujarnya, realiti hari ini menyaksikan pengundi muda semakin meningkat, namun wanita muda masih terlalu kerap dilihat sebagai jentera, bukan pelapis.

Tegas beliau, ahli-ahli Puteri UMNO diminta bekerja, turun padang dan menyumbang tetapi ruang untuk dibentuk, dilatih dan dimatangkan kepimpinan masih terlalu singkat.

“Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 baru-baru ini, kita sering diingatkan tentang pentingnya bersatu di bawah Rumah Bangsa.

“Tetapi jujur kita bertanya – di manakah kedudukan Puteri dalam rumah itu?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Reena Awliyatul Imani Reezal Merican. – Foto: UMNO Online

Tambah Reena Awliyatul Imani, sayap Puteri UMNO sudah hampir 25 tahun dibina, justeru cadangan melanjutkan had usia keahlian sehingga 40 tahun bukan melampau sebaliknya adalah realistik demi kesinambungan kepimpinan.

Kata beliau, ia bukan tentang menahan sesiapa, tetapi bagi memastikan Puteri UMNO tidak sentiasa bermula dari kosong.

“Perubahan tidak berlaku dalam sehari tetapi setiap langkah yang kita ambil, setiap suara yang kita angkat adalah permulaan kepada perubahan sebenar.

“Masa depan kepimpinan wanita bermula dengan keberanian kita hari ini,” katanya.

Desakan supaya had usia keahlian Puteri kepada 40 tahun serta pelaksanaan kuota 30 peratus calon wanita muda mendominasi perbahasan sayap Pergerakan Puteri pada PAU 2025 yang berakhir Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang ketetapan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan beliau, sekali gus mengundang rasa kecewa ahli-ahli dan pemimpin Puteri UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast