KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah lama membuat pemantauan ke atas pencerobohan tanah di tapak perkuburan wakaf orang Islam di PJS 4, kata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Namun, Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, kawasan itu berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri itu.
Salehuddin berkata, MAIS mengalu-alukan keprihatinan semua pihak dan menasihatkan barisan pimpinan dan ahli kariah setempat agar sentiasa cakna terhadap apa-apa isu setempat yang timbul berkaitan dengan pentadbiran agama Islam dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kepada pihak majlis dan agensi pelaksana seperti JAIS.
Menurut beliau, aduan ini penting untuk memastikan setiap isu yang berlaku dapat ditangani dengan baik dan berkesan.
“MAIS komited untuk memastikan kecekapan dalam pentadbiran agama Islam di Negeri Selangor dapat dilaksanakan bersama-sama dengan penglibatan agensi kerajaan negeri demi untuk memastikan kepentingan Islam dan kesejahteraan masyarakat Islam di Negeri Selangor akan terus terpelihara,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Hari ini, JAIS dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah memberi tempoh sehingga 31 Mac ini supaya Tanah Wakaf Perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya dekat sini dikosongkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kegagalan mengosongkan tanah perkuburan itu dalam tempoh ditetapkan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan pengosongan tapak oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bersama JAIS dan agensi penguat kuasa lain. – MalaysiaGazette
Penceroboh tanah kubur Islam PJS4 diarah kosongkan tapak sebelum 31 Mac ini – JAIS
















