Datuk Idris Ahmad.

KUALA LUMPUR – Pas Perak berkata, cadangan pemuafakatan Melayu-Islam sama ada menerusi kolaborasi agung atau rumah bangsa seperti dicadangkan UMNO perlu dijelaskan secara tuntas kepada rakyat.

Pesuruhjayanya, Datuk Idris Ahmad berkata, persoalan besar yang perlu dijawab adalah sama ada idea itu masih terikat atau tidak boleh dipisahkan dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Menurutnya, jika matlamatnya hanya untuk memberi `oksigen politik’ kepada PH bagi mengekalkan kuasa, atau sekadar menarik sokongan orang Melayu dengan berselindung di sebalik slogan penyatuan seperti Muafakat Nasional (MN) atau rumah bangsa, maka Pas Perak tidak dapat menerimanya.

“Pas Perak sekali lagi menegaskan bahawa penyatuan ummah mestilah dibina atas prinsip yang benar, konsep yang terkawal, serta berpaksikan aturan Islam, di samping menjunjung kewajipan berlaku adil kepada semua.

“Pendekatan inilah yang akan menatijahkan kesejahteraan sebenar kepada seluruh lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Idris yang juga Naib Presiden Pas, apa jua bentuk pemuafakatan sama ada dinamakan MN; kolaborasi agung; rumah bangsa atau apa sahaja istilah, mestilah jelas matlamat dan hala tujunya.

Tegas beliau, permuafakatan itu hendaklah berteraskan prinsip ta‘āwun ‘ala al-birr wa al-taqwā iaitu saling membantu dalam perkara kebaikan dan menentang kemungkaran serta kerosakan.

“Sekiranya pemuafakatan itu tidak berlandaskan prinsip tersebut, maka ia tidak mempunyai makna yang sebenar dalam konteks penyatuan ummah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast