KUALA LUMPUR – Muafakat orang Melayu telah wujud tanpa UMNO, namun penyertaan parti itu akan lebih melengkapkan usaha tersebut.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah membuktikan undi orang Melayu secara majoriti berpadu dengan pola sokongan yang jelas.
Namun, ujar beliau, perpecahan hanya berlaku apabila UMNO memilih mufarakah (berpisah) serta mengangkat kelompok yang tidak mendapat sokongan orang Melayu.
“Secara organisasi orang Melayu menjadi agak keliru dan devided (berpecah) kerana terpaksa mengikut parti dan pemimpin masing masing.
“Mereka diasak dengan pelbagai naratif dan justifikasi agar menyokong kehendak pemimpin,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, sehingga ke hari ini, suara Melayu masih utuh termasuk di dalam UMNO sendiri.
Katanya, di peringkat organisasi, sebanyak tujuh parti Melayu sudah pun berpadu dan gagasan seperti MN; Sekretariat Orang Melayu; payung besar dan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) adalah antara manifestasi penyatuan itu yang semakin mengukuh.
“Namun semua ini tanpa UMNO, yang kepadanya pintu sentiasa dibuka,” katanya.
Jelas beliau, isyarat daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 baru-baru ini memberi sedikit petanda lebih positif, meskipun masih kabur dan bercampur-baur.
Sehubungan itu, katanya, ia sedang di nilai secara cermat oleh kelompok majoriti, kerana dalam konteks muafakat itu, UMNO bukan saja minoriti tetapi juga `late comer’ yang kelihatan berteka-teki.
Dalam hubungan itu, ujar beliau, lontaran idea Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenan kolaborasi agung dialu-alukan dari sudut hasrat, tetapi tidak dari sudut pendekatan dan asas penyatuan.
“Sebagai memudahkan pemerkasaan penyatuan Melayu, lebih wajar bagi UMNO diundang menyertai gagasan penyatuan Melayu yang sudah terbentuk dengan dasar dan matlamat yang jelas iaitu memimpin negara, bukan `tiang seri’, bukan pelengkap, bukan semak dan imbang dan bukan `king maker’ seperti digambarkan pemimpin UMNO masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















