KUALA LUMPUR – Mahkamah Syariah Shah Alam semalam dilaporkan meluluskan permohonan pelakon dan pengacara, Raja Azura yang menuntut nafkah tiga anaknya daripada bekas suami.

Kebenaran itu diputuskan Hakim Syarie, Tuan Salehan Yatim selepas berpuas hati dengan penjelasan dan keterangan yang dikemukakan Raja Azura sepanjang prosiding berlangsung.

“Mungkin dia tidak mahu jumpa saya atau mungkin ada sebab lain, saya pun tidak tahu.

“Apa yang kita mahukan hanyalah kehadirannya untuk mengakui bahawa perintah nafkah itu tidak dilaksanakan, namun pada tarikh ditetapkan pun dia tidak hadir,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Azura atau Kak Engku ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan tiga anaknya meluahkan hasrat untuk berjumpa dengan bekas suaminya, Adzmin Osman.

Menurutnya, kali terakhir bekas suaminya berjumpa dengan tiga anak mereka sekitar 10 tahun lalu.

“Mereka selalu bertanya, ‘Mama, kalau ayah datang mahkamah, boleh tak kami berjumpa?’ Mereka mahu beritahu dan tunjuk kepada ayah mereka bahawa mereka sudah dewasa,” katanya.

Raja Azura pada September lalu memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin yang gagal melunaskan mengikut perintah mahkamah sejak perceraian mereka 15 tahun lalu.

Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada 2001 namun bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 24; Megat Luqman Hakim Adzmin, 23; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 21.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast