Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – UMNO dengan mudah menambah sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sekiranya idea kolaborasi agung atau rumah bangsa adalah menerusi Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengundi PN boleh mengundi Barisan Nasional (BN) seperti yang berlaku pada siri-siri pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU 2018 dengan yang paling ketara berlaku pada PRK Cameron Highland dan Tanjung Piai.

Menurutnya, 10 kerusi Parlimen yang boleh dimenangi dengan mudah UMNO jika bersama PN itu adalah Parlimen Lembah Pantai, Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Hulu Langat.

Kerusi lain, adalah Parlimen Sekijang, Ledang, Sri Gading, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Johor Bahru.

Mengambil contoh kerusi Parlimen Johor Bahru, katanya, undi calon PN dan BN pada PRU-15 sekiranya dijumlahkan akan mengatasi undi Pakatan Harapan (PH) sekali gus membolehkan kerusi itu dimenangi oleh gabungan PN dan BN.

“Di dalam perundingan kerusi sudah tentu kerusi ini akan ditandingi oleh UMNO yang mendapat tempat kedua, itu tiada syak wasangka lagi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Ahmad Fadhli, dalam konteks BN, kerusi Parlimen Bentong dan Labis yang ditandingi oleh MCA dan kerusi Sungai Siput (MIC) sangat berpeluang untuk dimenangi kerana parti-parti komponen BN itu berada di tempat kedua selepas PH.

Katanya, ia belum mengambil kira kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PH dan PN di tempat kedua namun hanya meninggalkan BN dengan perbezaan sedikit yang tentu sekali terbuka kepada perbincangan untuk ditandingi.

“Ini hanyalah kira-kira mudah sahaja yang tentu sekali masih terdedah dengan pelbagai kemungkinan dan senario isu dan perkembangan lain yang boleh mempengaruhi pengundi, tetapi ia sudah cukup kuat untuk menjadi asas perbincangan dalam gabungan politik,” katanya.

Menurutnya, selain mudah menambah 10 kerusi daripada 26 kerusi yang dimiliki kini, UMNO menerusi PN juga mempunyai peluang luas memenangi sehingga 40 kerusi Parlimen.

Katanya, ia mengambil kira kerusi lain yang dimenangi PH yang mana UMNO berada di tempat kedua tetapi tidak cukup untuk menang jika dicampur dengan undi PN.

Berhubung dakwaan gabungan PH-BN boleh menang lebih besar, Ahmad Fadhli bagaimanapun membangkitkan persoalan sama ada pengundi BN keseluruhannya boleh boleh menerima gabungan dengan PH pada PRU-16 kelak.

“Bukankah penolakan itu telah terbukti di dalam PRN enam buah negeri tahun 2023 di mana pengundi-pengundi BN di dalam PRU15 ternyata sebahagiannya menolak idea gabungan PHBN?” soalnya.

Secara realitinya, kata beliau, pengundi BN sebenarnya lebih mudah untuk mengundi gabungan BN-PN berbanding gabungan PH-BN dengan sentimen dan semangat yang sama.

Sehubungan itu, jelasnya, kolaborasi agung dan rumah bangsa perlu digagaskan ke arah kerjasama politik yang boleh membuka ruang luas untuk memenangi PRU-16, bukannya menjadikan UMNO dan BN semata-mata alat kepada PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast