Suasana Majlis Apresiasi dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Siswa (JKPS) 2025 / 2026 yang berlangsung di kampus universiti, baru-baru ini.

SINTOK – Universiti Utara Malaysia menegaskan kepentingan adab, budaya ketimuran serta pemikiran berasaskan fakta dan data sebagai asas utama dalam membentuk mahasiswa berfikiran global, berkeperibadian unggul dan berwibawa.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, imej antarabangsa mahasiswa tidak seharusnya dinilai melalui penampilan atau gaya berpakaian semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui sahsiah, adab dan jati diri yang mencerminkan nilai budaya masyarakat Timur.

Menurut beliau, mahasiswa UUM digalakkan untuk bersedia menghadapi dunia pekerjaan bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global, namun perlu mengekalkan akar budaya, adab ketimoran dan nilai murni yang menjadi identiti bangsa.

“Budaya Barat tidak boleh diterima secara membuta tuli. Mahasiswa perlu mempunyai kebijaksanaan untuk menilai, menapis dan menolak unsur yang bertentangan dengan norma masyarakat serta berpotensi merosakkan keharmonian sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Apresiasi dan Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Siswa (JKPS) 2025 / 2026 yang berlangsung di kampus universiti, baru-baru ini.

Tambah beliau, adab perlu dijunjung oleh semua peringkat mahasiswa tanpa mengira jawatan atau kedudukan, sama ada dalam hubungan dengan pihak pengurusan universiti, rakan sebaya mahupun masyarakat luar.

“Di mana sahaja berada, mahasiswa perlu sentiasa menjaga sikap hormat, berhemah dan berakhlak. Elakkan diri daripada terjerumus dalam perkara yang boleh merosakkan masyarakat serta mencetuskan persengketaan dan perpecahan,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Ahmad Martadha menegaskan, kualiti graduan UUM perlu dibina berlandaskan keupayaan membuat keputusan secara rasional berpaksikan fakta dan data, bukan didorong oleh emosi semata-mata.

“Paksi utama setiap tindakan ialah fakta dan data,” ujar beliau.

Keputusan yang dibuat secara matang dan berasaskan analisis akan melahirkan graduan yang berintegriti, diyakini serta mampu menyumbang secara berkesan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Inasis TNB UUM yang bersara, Prof. Madya Dr. Rohani Abdullah berharap, kepimpinan mahasiswa yang baharu dapat meneruskan legasi kecemerlangan dengan menjadikan adab, disiplin dan nilai hormat sebagai asas kepimpinan.

Beliau berkata, pengalaman memimpin mahasiswa membuktikan bahawa kejayaan sebenar pelajar bukan hanya terletak pada pencapaian akademik, malah turut ditentukan oleh sahsiah, kebolehan mengawal diri serta keupayaan membuat keputusan yang beretika dan berhemah.

“Mahasiswa UUM mempunyai potensi besar untuk menjadi pemimpin masa hadapan. Jika nilai adab, budaya ketimoran dan budaya ilmu terus dipelihara, saya yakin mereka mampu membawa nama universiti dan negara dengan penuh maruah di mana sahaja berada,” tambahnya.

Majlis berkenaan turut menjadi platform penghargaan kepada barisan mantan JKPS atas sumbangan dan khidmat bakti mereka, selain menyuntik semangat kepada kepimpinan mahasiswa baharu untuk menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab, integriti dan kebijaksanaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast