PASIR GUDANG – Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-28 bulan depan yang disertai 57 buah negara akan direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) pada kali ini.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A. Rahim Nin berkata, ia kerana penyertaan 57 buah negara dari enam benua itu merupakan paling banyak dalam sejarah penganjuran festival seperti itu.
Beliau berkata, festival tersebut yang diadakan di Bukit Layang-Layang di sini pada 4 sehingga 8 Februari ini turut menyasarkan satu juta pengunjung.
“Kita sudah membuat persiapan rapi termasuk menyediakan kawasan parkir yang mencukupi selain menyediakan shuttle bas untuk mudahkan pengunjung ke Bukit Layang-Layang,” katanya.
Beliau yang juga Yang DiPertua (YDP) Persatuan Pelayang Johor (PPJ) berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.
Festival itu merupakan anjuran kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dengan kerjasama PPJ, Tourism Johor dan MPM.
Rahim berkata, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim berkenan merasmikan festival berkenaan pada 7 Februari.
“Sehari sebelum itu iaitu pada 6 Februari Tunku Tun Aminah akan merasmikan Galeri Seramik MBPG dan melawat booth serta melakukan walkabout bersama-sama pelayang antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, seramai 155 peserta antarabangsa selain 100 pelayang tempatan di bawah gabungan MPM akan mengambil bahagian sekali gus menyumbang secara signifikan kepada peningkatan pelancongan domestik dan antarabangsa.
A Rahim Nin berkata, festival yang dianjurkan secara konsisten sejak 1995 itu kini menjadi antara acara pelancongan ikonik atau signature event bagi Johor.
Jelasnya, Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang bukan sekadar acara rekreasi, malah berfungsi sebagai platform penting dalam mempromosikan Johor dan Malaysia di peringkat global.
“Penganjuran festival ini setiap tahun memberi impak besar kepada industri pelancongan negara, selain mengeratkan hubungan budaya dan persahabatan antara negara yang terlibat,” katanya.- MalaysiaGazette
















