KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyifatkan pelantikan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merupakan tanggungjawab besar bagi memastikan BN di negeri itu terus kekal bersatu, kukuh dan relevan dalam landskap politik semasa.
Menurutnya, keutamaan beliau kini adalah untuk mengeratkan perpaduan, di samping memastikan koordinasi politik yang lebih tersusun dan stabil.
Ia kata beliau, bagi membina kekuatan bersama serta memperkukuh kepercayaan rakyat dan menyumbang kepada pembangunan serta kestabilan politik Sabah demi kesejahteraan rakyat.
“Dalam masa yang sama, BN Sabah akan terus memainkan peranan aktif dalam menyuarakan dan memperjuangkan hak Sabah berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selari dengan aspirasi pembangunan yang seimbang, inklusif dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, mesyuarat Dewan Tertinggi BN bersetuju melantik Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan sebagai Pengerusi baharu BN bagi memperkukuh penyelarasan serta kesiapsiagaan parti di negeri itu.
Mesyuarat yang dipengerusi Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut melantik Datuk Jafry Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi, manakala Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha BN Sabah.
Sementara itu, Arthur berkata, beliau percaya melalui kerjasama erat antara kepimpinan, akar umbi serta rakan-rakan strategik, BN Sabah mampu menjadi wadah politik yang stabil, berprinsip dan berorientasikan kepentingan rakyat.
“Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan. Amanah ini akan saya menggalas dengan penuh tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette

















kita teringin sangat kalau hamzah zai using jadi pengerusi Bersatu. Muhyidin yasin tu dah lemau sangat