KUALA LUMPUR – Perbandingan antara pemakan babi dengan pemakan rasuah disifatkan tidak tidak wajar; tidak matang dan langsung tidak membantu menyelesaikan isu sebenar yang sedang dibangkitkan oleh masyarakat.
Ketua UMNO Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, umat Islam tidak pernah menghina mana-mana komuniti atau individu yang memakan babi, walaupun dari sudut pegangan agama Islam, ia jelas diharamkan.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat adalah berkenaan kebajikan awam dan kesihatan komuniti, khususnya berkaitan cadangan pembinaan kandang babi yang berpotensi memberi kesan kepada kebersihan persekitaran, sistem pengairan serta pencemaran bau di kawasan berdekatan.
Sehubungan itu, ujar beliau, mempolitikkan isu tersebut dengan mengaitkannya kepada rasuah, makanan tradisi, atau sentimen perkauman bukan sahaja tersasar, malah mencerminkan kegagalan memahami inti sebenar bantahan rakyat.
“Jika benar mahu berbicara tentang rasuah, persoalan yang adil perlu dijawab secara menyeluruh adalah jika penerima rasuah datang daripada satu kelompok, siapakah pula pemberi rasuah yang memungkinkan jenayah itu berlaku?
“Jika statistik penagihan dadah menunjukkan majoriti daripada satu kaum, siapakah pula pengedar yang membina rangkaian dan keuntungan daripada ketagihan itu?
“Menuding jari secara selektif hanya akan melahirkan naratif berat sebelah, bukan penyelesaian,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menggesa rakyat Malaysia menghormati pilihan makanan setiap kaum dan menghentikan penghinaan terhadap pemakan daging babi.
Beliau menegaskan komuniti Dayak tidak pernah mencela makanan orang lain, malah menyatakan pemakan babi tidak semestinya terlibat dengan rasuah atau dadah serta membandingkan bau babi dengan budu dan belacan.
Sementara itu, Fathul Bari mengingatkan supaya ahli parlimen sepatutnya memberi tumpuan kepada isu pokok dan berhenti mengeksploitasi sentimen perkauman.
Ujarnya, kenyataan seperti dibuat Willie tidak mengangkat wacana awam, sebaliknya hanya menghakis kepercayaan rakyat dan merosakkan asas perpaduan dalam masyarakat majmuk negara ini.
“Kritikan netizen adalah lumrah dalam demokrasi. Ia perlu dijawab dengan hujah, kebijaksanaan dan tanggungjawab, bukan dengan sindiran yang menjatuhkan maruah pihak lain.
“Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan memecah-belahkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















