JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal sudah boleh menarik nafas lega kerana perniagaan roti canai yang usahakan sejak empat tahun lalu di rumah kini semakin dikenali dan menjadi sumber pendapatan.
Siti Aisyah Jali, 39, yang tinggal di Perumahan Rakyat (PPR) Taman Setia Indah di sini berkata, bukan sahaja menebar dan membuat roti canai tetapi dia turut menyediakan khidmat tunai semasa penghantaran (COD) untuk para pelanggannya.
“Hampir setiap hari, rutin saya bukan saja menghasilkan adunan serta menebar roti canai malah melakukan COD ke rumah jiran-jiran dengan naik turun bangunan empat tingkat di PPR ini lebih 10 kali.
“Saya menjalankan perniagaan roti canai 11 jam sehari demi meraih pendapatan harian antara RM40 hingga RM50 bagi menyara tiga anak termasuk anak sulung yang merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran,” katanya.
Siti Aisyah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata) merangkap wanita Ikon Johor 2024/25, Datuk Faridah P. Hamsa dan Pengerusi Permata Baiduri Johor, Norhanita Mohd Salim.
Menurutnya, kehidupan berubah selepas suami, Jamaluddin Amin yang merupakan peniaga pisang goreng di Pasir Gudang meninggal dunia akibat strok lapan tahun lalu ketika berusia 50-an.
Dia pada awalnya buntu dengan nasib tiga cahaya matanya, Muhammad Khairi Adha Abdullah, 19; Muhamaad Irfan, 12 dan Nur Alisya, 8.
“Ketika suami meninggal dunia, anak bongsu saya berusia lapan bulan namun saya tetap mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan dengan berniaga di gerai makan tepi jalan selain bekerja di restoran.
“Saya terpaksa membawa anak bongsu sementara anak sulung terpaksa menangguh persekolahan khas bagi tempoh tertentu bagi menjaga anak adiknya (anak lelaki kedua) di rumah,” ujarnya.
Kemudian selepas itu dia memberanikan diri membuat roti canai ketika berpindah dari PPR Taman Setia Indah untuk mencuba nasib sekiranya diterima.
Siti Aisyah berkata, dengan usaha sendiri, dia berjaya mempelajari cara menghasilkan doh roti canai serta mengolah adunan supaya lebih lembut dan ranggup.
Setiap hari dia menghasilkan kira-kira 5 kilogram (kg) adunan bagi memenuhi tempahan penduduk di flat tersebut.
Setiap hari katanya, kira-kira 40 hingga 50 set roti canai disediakan dan akan memulakan perniagaan seawal pukul 7 pagi hingga 1 tengah hari.
“Saya kebiasaannya akan berjalan untuk melakukan COD ke rumah jiran-jiran yang tinggal di kawasan flat PPR ini.
“Kemudian saya akan berehat bagi mengurus makan minum anak yang pulang dari sekolah sebelum ke kedai bagi membeli barang niaga untuk keesokan hari.
“Saya akan mula membuka semula tempahan mulai pukul 4 petang dan berniaga hingga 9 malam,” katanya.
Siti Aisyah sentiasa memastikan menawarkan roti canai dan mertabak yang lazat, bersih dengan harga yang berpatutan kepada masyarakat setempat.
Dia menjual roti canai kosong pada kadar mampu milik daripada RM1.50, selain murtabak ayam dan daging pada harga RM5 dan RM6.
“Dompet setiap orang bukan sama, saya memahami ramai penduduk di sekitar kawasan ini bukan orang senang namun saya pastikan pelanggan saya dapat makan dengan puas.
“Keuntungan bersih saya hanya RM40 hingga RM50 sehari, saya gunakan pendapatan itu untuk membayar sewa flat ini, bil utiliti selain persekolahan anak,” ujarnya.
Wanita itu bersyukur anak sulungnya yang merupakan OKU masalah pembelajaran dapat sambung belajar di peringkat sijil kemahiran di sebuah kolej di Kuala Selangor.
“Saya tidak belajar tinggi atas faktor kesusahan keluarga namun saya pastikan anak saya tidak keciciran dalam pelajaran,” katanya.
Siti Aisyah bersyukur dikurniakan kesihatan baik bagi menjalankan tanggungjawab, setakat ini dia tidak bercadang untuk membuka kedai kerana kekurangan modal.
Keluarganya juga masih bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM400.
Sementara itu, Faridah berkata, pihaknya berharap Siti Aisyah dapat menaik taraf kehidupan keluarganya pada masa depan.
“Beliau mungkin dapat menjadi tenaga pengajar bagi pembuatan roti canai pada masa depan,” katanya.- MalaysiaGazette
















