MoU antara UTM dan Peking University dimerterai di UTM Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu

JOHOR BAHRU – Johor Talent Development Council (JTDC) menjalin kerjasama strategik akademik serta penyelidikan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Peking University, China.

MoU dengan universiti nombor satu di China dan ke-14 terbaik dunia itu dimeterai di UTM Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu.

MoU berkenaan melibatkan Naib Canselor UTM, Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Executive Vice President Peking University, Prof. Zhang Jin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, kerjasama itu mencerminkan keyakinan institusi pendidikan bertaraf dunia terhadap keupayaan dan reputasi UTM di peringkat antarabangsa.

“Fokus utama MoU ini merangkumi penyelidikan bersama-sama, pembangunan bakat, mobiliti akademik dan pelajar, penyeliaan pascasiswazah serta pembangunan program akademik yang berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan masa hadapan.

“Melalui kerjasama ini, UTM turut mendapat akses kepada kepakaran dan ekosistem penyelidikan bertaraf dunia di Peking University.

“Ini sekali gus memperkukuh agenda inovasi negara khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan bioperubatan, elektrik dan elektronik, sains bahan, alam sekitar serta tenaga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, langkah strategik itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan UTM sebagai hab inovasi teknologi dan diplomasi pendidikan antarabangsa, malah membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk bersaing di peringkat global dengan ilmu, kemahiran dan pendedahan bertaraf dunia.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada UTM atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kerjasama strategik ini memberi limpahan manfaat yang besar kepada agenda pendidikan Negeri Johor.

“Ini dalam usaha melahirkan anak-anak Bangsa Johor yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia memacu Johor ke tahap yang lebih maju,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast