Difahamkan sesi angkat sumpah ini di hadapan Perdana Menteri pada Rabu lepas.

PUTRAJAYA – Seramai tujuh setiausaha politik baharu mengangkat sumpah dan menandatangani akujanji simpan rahsia dalam satu majlis rasmi di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pelantikan itu melibatkan Norashekin Yusof sebagai setiausaha politik kepada Menteri Perladangan dan Komoditi; Willy Leong @ Rafiqi Helmy kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam; serta Aizuddin Abd Gaffal kepada Menteri Sumber Manusia (Kesuma).

Selain itu, lantikan lain termasuk Mohd Hafiz Mohamad sebagai setiausaha politik kepada Menteri Ekonomi; Ahmad Nazib Johari kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak); Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Mohammad Afiq Hazwan Samsudin kepada Menteri Belia dan Sukan.

MalaysiaGazette difahamkan, pelantikan berkenaan bertujuan memperkukuh sokongan politik  peringkat kementerian serta menyokong pelaksanaan agenda Kerajaan Madani.

Kerajaan percaya semua setiausaha politik yang dilantik mampu melaksanakan amanah dengan profesional dan berintegriti sejajar usaha mempertingkat tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast