KUALA LUMPUR – Seramai 84 peserta dalam kalangan ahli khariah Surau An-Nur Taman Kantan Permai (TKP), Kajang menyertai pertandingan bowling tertutup yang berlangsung pagi tadi.
Ia merupakan aktiviti sulung surau berkenaan bagi tahun ini dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang juga ahli kariah surau.
Penyelaras program, Mohd Safrizan Mohd Mustaffa berkata, penganjuran pertandingan tersebut bukan sahaja mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat malah berperanan merapatkan ukhuwah serta memupuk semangat kesukanan.
Menurut beliau, pendekatan berbentuk santai dan sukan rekreasi dilihat mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan usia sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti surau.

“Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha mengukuhkan perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan khariah Surau An-Nur,” katanya.
Pertandingan bowling tersebut berlangsung dalam suasana ceria dan penuh semangat kekeluargaan sekali gus mencerminkan komitmen pihak surau dalam mengimarahkan aktiviti kemasyarakatan. – MalaysiaGazette
















